Shah Firdaus akui masih belum capai tahap kelajuan maksimum

Shah Firdaus akui masih belum capai tahap kelajuan maksimum

sukan@hmetro.com.my

Nagoya: Pelumba trek negara, Shah Firdaus Sahrom mengakui masih belum mencapai kelajuan yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi selepas menjalani pembedahan lutut pada penghujung tahun lalu.

Pelumba berusia 31 tahun kelahiran Muar itu menamatkan saingan di tempat kelima acara keirin lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, selain gagal melepasi pusingan kedua repechage acara pecut individu lelaki.

Shah mencatat masa 9.850 saat pada pusingan kelayakan pecut individu, jauh berbanding catatan terbaik peribadinya 9.481 saat.

Shah berkata dia bertekad untuk terus meningkatkan prestasi.

“Prestasi itu ada, cuma kaki tidak cukup kuat untuk memberikan tolakan tambahan ketika diperlukan.

“Tiada alasan. Saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan ini dan akan belajar daripadanya sebelum terus melangkah ke hadapan.

“Perjalanan ini penuh cabaran tetapi saya bersedia menghadapinya. Apa saja yang mendatang, saya akan bersedia, selangkah demi selangkah. Terus membina, terus berjuang dan terus bergerak ke hadapan.

“Terima kasih kepada jurulatih, pegawai pasukan serta NSI, RTG dan NSC. Terima kasih atas kerja keras, pengorbanan dan sokongan untuk membantu saya kembali bertanding di tahap ini, terutama ketika kami berlumba dengan masa,” kata Shah menerusi media sosial.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Harnizam Basri baru-baru ini mendedahkan Shah masih terjejas akibat tisu parut pada lutut kanannya susulan pembedahan berkenaan.

Shah dan anggota lain skuad elit kebangsaan akan beraksi pada Kejohanan Dunia di Shanghai dari 14 hingga 18 Oktober ini.

Kejohanan itu menandakan permulaan tempoh kelayakan Olimpik bagi Los Angeles 2028.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top