Hasrat PAS yang membayangkan kemungkinan menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nampaknya mendapat respons terbuka daripada UMNO.
Bagaimanapun, jangan anggap ‘lampu hijau’ sudah diberikan kerana perkara itu masih perlu dibawa ke meja rundingan terlebih dahulu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya bersedia untuk berbincang sekiranya PAS benar-benar berhasrat bertanding menggunakan logo BN.
“Kalau itu sesuatu yang mereka berkehendakkan, kita bersedia untuk berbincang, tetapi bukan maknanya kita sudah jumpa, tetapi sebab dia cakap pada akhbar (media), jadi saya jawab balik kat akhbarlah.
“Saya jawab dari segi umumnya, kalau katakanlah mana-mana pihak yang bersedia untuk bertanding menggunakan logo BN, sangat-sangat kita alu-alukan. Tetapi bersandarkan kepada keputusan pokok,” katanya.
![]()
Kredit Foto: Utusan Malaysia
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di Asrama Anak-Anak Yatim Islam, hari ini.
Khaled berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang membayangkan parti itu bersedia menggunakan logo BN sekiranya tidak dapat menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Namun, keterbukaan tersebut nampaknya bukan bermaksud semua pihak boleh mengambil peluang sama.
Ketika ditanya sama ada parti komponen lain dalam PN seperti Parti Wawasan Negara (WAWASAN) turut boleh menggunakan logo BN, Khaled menjawab secara berseloroh bahawa keterbukaan itu bukan untuk semua.
“Siapa nak datang rumah kita, orang yang kita sukalah, bukan semua orang,” selorohnya.

Dalam pada itu, Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi tidak mahu mengulas lanjut mengenai soal pengagihan kerusi bagi PRN Melaka kerana beliau tidak terbabit secara langsung dalam perkara berkenaan.
Setakat ini, kenyataan tersebut menunjukkan pintu perbincangan mengenai penggunaan logo BN terbuka, namun belum ada sebarang persetujuan rasmi mengenainya.
Sumber: Utusan Online (Khairul Mohd Ali)




