SHAH ALAM – Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (IMPUMA) Universiti Malaya (UM) menganjurkan Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13): Hala Tuju dan Cabaran, di Kuala Lumpur, Selasa ini.
Ketua Projek, Profesor Dr Siti Hajar Abu Bakar Ah berkata, persidangan itu merupakan sebahagian daripada projek yang dilaksanakan sejak setahun lalu bagi mendapatkan perspektif pelbagai pihak berkepentingan mengenai isu semasa ekonomi dan sosial.
Menurut beliau, projek berkenaan kini berada diperingkat akhir selepas dilaksanakan di seluruh negara dengan matlamat berkongsi dapatan dan mengenal pasti keperluan yang perlu diberi perhatian bagi memperkasa pelaksanaan rancangan lima tahun itu.
“Hasil projek ini diharap akan menyediakan input yang amat bernilai untuk dibentangkan kepada kerajaan dalam menyokong pemantapan pelaksanaan RMK13 agar kekal relevan dan responsif terhadap keperluan serta cabaran semasa negara.
“Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Projek Wacana Awam ini, INPUMA akan menganjurkan Persidangan Wacana Awam RMK13 ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Siti Hajar berkata, program itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan antaranya ahli akademik, penyelidik, pengamal industri, perancang strategik dan komuniti bagi berkongsi pandangan berkaitan hala tuju serta pelaksanaan RMK13.
Tambah beliau, kerangka kajian Wacana Awam RMK13 empat objektif utama iaitu mengenal pasti isu dan cabaran, menilai impak nasional, menjelaskan wacana dasar, dan mengemukakan input strategik.
“Kami menggunakan metodologi Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) dan sesi libat urus, survei yang disertaikan oleh 3,092 responden dan analisis sentimen media untuk mengumpul data.
“FGD terakhir yang diadakan baru-baru ini telah memfokus kepada impak konflik di Asia Barat,” kata beliau lagi.
Ujar beliau, fokus kajian Projek Wacana Awam RMK13 itu adalah menyeluruh dan INPUMA turut berbesar hati untuk berkongsi dapatan dengan Kerajaan.
Pada majlis itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dijadualkan merasmikan persidangan terbabit manakala Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Zunika Mohamed pula menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Aspirasi Rancangan Ketiga Belas: Reformasi Tata Kelola Awam, Kesejahteraan Rakyat dan Daya Tahan Negara’.
Siti Hajar turut membentangkan ‘Sintesis Kajian Wacana Awam RMK13’ dan rumusan persidangan serta ucapan penutup akan disampaikan oleh Ketua Projek Bersama Wacana Awam RMK13, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi.
Lima pembentangan diadakan sepanjang persidangan berkenaan oleh Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Abdul Kahar Abdullah; Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr Azmir Mohd Yunus; Pengarah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Pembangunan Sabah, (IDS), Datuk Dr Ramzah Dambul.



