DUBAI – Pembantu juruterbang pesawat Flydubai FZ1073 didakwa menggunakan kapak kecemasan di dalam kokpit untuk menyerang Kapten Smit Machchhar hingga cedera ketika insiden serangan ganas di ruang udara pada Rabu lalu.
Menurut pendakwa raya Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hamad Saif Al Shamsi pada Sabtu, siasatan awal mendapati pelaku dikenal pasti oleh beberapa rangkaian media sebagai Hamam al-Hammami, 29, juga cuba mengambil alih pesawat yang membawa 182 penumpang termasuk kru ketika kekecohan tersebut.
Wall Street Journal melaporkan pembantu juruterbang berkenaan sebelum ini dilarang menerbangkan pesawat di Oman berikutan kebimbangan mengenai kaitannya dengan fahaman ekstremis.
Dia kemudiannya diambil bekerja oleh syarikat penerbangan yang berpusat di UAE itu. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sejauh mana pemeriksaan latar belakang dijalankan ke atasnya.
Beberapa sumber mendedahkan pelaku yang dilahirkan di UAE dan berketurunan Syria itu kini sedang disiasat bagi mengenal pasti motif di sebalik tindakannya, yang turut dimanfaatkan oleh segelintir pihak termasuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menghidupkan semula sentimen Islamofobia.
Agensi keselamatan dari empat negara serantau sedang bekerjasama dalam proses siasatan itu dengan bantuan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa kerajaan Barat lain. – Agensi



