am@hmetro.com.my
Changlun: “Boleh dikatakan setiap tahun rumah mak cik akan ditenggelami banjir. Mak cik penat mencuci rumah selepas banjir surut,” kata Aishah Ahmad, 78, penduduk Kampung Belukar, di sini.
Warga emas itu mengeluh mengenai banjir yang melanda kampung yang didiaminya hampir 60 tahun lalu, dengan kejadian malam tadi menyebabkan dia terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga.
Katanya, walaupun hujan lebat hanya beberapa jam sahaja, kawasan kediamannya mudah digenangi air dan melimpah masuk ke dalam rumah.
Sementara itu penduduk lain, Mohammad Irsyadi Darus, 37, berkata, setiap kali banjir kilat berlaku, limpahan air akan memasuki rumahnya dengan cepat dan surut dalam tempoh sejam.
Katanya, pengalaman berdepan banjir hampir setiap tahun menyebabkan penduduk sentiasa bersedia dengan memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan dan kerugian.
“Biasanya hujan lebat yang berlaku antara dua hingga tiga jam akan mencetuskan bencana banjir,” katanya.
Dalam pada itu itu, beberapa laluan yang ditutup sementara akibat banjir sejak malam tadi sudah dibuka semula.
Rata-rata penduduk mula membersihkan kediaman masing-masing yang dikotori lumpur dan selut.
Namun tinjauan mendapati beberapa rumah di Kampung Sungai Petani dan Kampung Belukar di sini, masih ditenggelami banjir meskipun air di kawasan sekitar mulai surut.
Ia berikutan kedudukan rumah mangsa yang lebih rendah berbanding tempat lain yang menyebabkan air masih bertakung.
Dalam pada itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kubang Pasu yang melakukan pemantauan mendapati paras air di Sungai Batu 15 Sintok, Sungai Badak dan Sungai Tok Kassim di sini, semakin terkawal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




