Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi menegaskan kelantangannya bersuara mengenai bekas suami, Norman Hakim bukan didorong rasa dengki terhadap kemewahan atau kehidupan dilaluinya kini.
Sebaliknya, Abby, 48, berkata tindakannya itu dibuat demi menuntut hak tiga anak mereka yang didakwa selama ini diabaikan lelaki berkenaan.
Menurutnya, dia sedar tindakan bersuara secara terbuka di media sosial mungkin tidak disenangi sesetengah pihak, namun menganggap ia antara cara bagi menyuarakan apa yang dipendam sekian lama.
“Lillahitaala, kalau saya nak dengki, dulu lagi saya dah dengki. Tapi hati ini tak pernah nak berdengki pada orang.
“Setiap kali saya lantang di media sosial, pasti ada sebabnya. Kalau tidak, memang saya tak buat. Saya rasa dah terlalu lama saya pendam.
“Anak-anak tak mahu campur kerana pada mereka apa yang sebelah sana buat semuanya betul. Mereka tak mahu tuntut hak mereka, tetapi saya nak tuntut apa yang tertunggak di pihak saya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurut Abby, sebelum ini dia memilih untuk tidak mengambil kisah mengenai perkara terbabit kerana memahami kedudukan ekonomi Norman, selain dirinya juga mempunyai pendapatan untuk menanggung keperluan anak-anak.
Bagaimanapun, katanya, keadaan berubah apabila bekas suaminya kini dilihat lebih berkemampuan, sekali gus membuatkannya berasa tidak salah untuk menuntut hak yang sepatutnya diterima anak-anak.
“Dulu anak-anak duduk dengan saya, jadi saya tak kisah nak tanggung. Saya tak perasan yang saya tak minta pun nafkah.
“Selepas bercerai, saya tak pernah minta dia tolong bayar rumah atau tanggung anak-anak. Saya tak perasan sebab saya ada rezeki dan pendapatan sendiri. Walaupun kalau ikutkan, memang itu tanggungjawab dia.
“Tapi sejak dia sudah berkemampuan dan saya beberapa kali bersuara mengenai keadilan untuk anak-anak, sejak itu hubungan kami jadi dingin,” katanya.
Abby berkata, dia turut berdepan tuduhan sesetengah pihak yang menganggap dirinya sengaja bersuara untuk mendapatkan wang daripada bekas suami.
“Niat saya sebenarnya memang untuk anak-anak sebab itu pun anak dia juga. Saya dah banyak berlebih kurang dengan dia selama ini.
“Banyak perkara yang saya rasa tak adil untuk anak-anak, jadi saya kenalah bersuara kerana dia pun banyak sangat akal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




