MARANG : “Sekarang saya ahli biasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).”
Itu penegasan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris yang mengesahkan beliau masih kekal dalam parti berkenaan meskipun melepaskan semua jawatan kepemimpinan yang disandang selepas kira-kira 10 tahun bersama parti itu.
Razali berkata, dia tidak pernah menghantar surat untuk keluar daripada Bersatu, sebaliknya hanya meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian Marang dan dalam Badan Pimpinan Negeri.
Memuatkan artikel berkaitan…
“10 tahun saya berkhidmat sebagai pimpinan Bersatu. Pada 1 Oktober lalu saya berhenti sebagai pimpinan. Saya jadi ahli biasa sekarang. Saya masih ahli. Saya hanya hantar surat kepada Setiausaha Agung untuk meletak jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Marang. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui pada Program Alam Sekitar di Pantai Kelulut, di sini, hari ini.
Razali bagaimanapun mengakui sedang memikirkan mengenai ‘wadah baharu’ seperti yang disebut dalam hantaran media sosialnya sebelum ini, namun belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti.
“Saya ada fikir, mesti saya ada fikir. Cuma keputusan buat masa sekarang belum lagi. Saya masih lagi berada dalam parti sebagai ahli biasa dan bukan pimpinan,” katanya.
Razali berkata, keputusan untuk kekal sebagai ahli Bersatu juga membolehkannya terus memberikan teguran dan kritikan sekiranya terdapat tindakan atau keputusan parti yang dianggap tidak wajar.
“Kalau parti saya membuat kesalahan yang berat, saya mahu kritik lagi. Kalau saya keluar terus daripada parti, saya tidak boleh hendak kritik apa-apa kerana saya akan jadi orang luar dan parti lawan. Saya memang pengasas parti dan daripada mula bersama parti. Jadi saya rasa saya bertanggungjawab,” katanya.
Mengenai isu bayaran atau tindakan terhadap ahli Bersatu yang meninggalkan parti itu, beliau menegaskan perkara berkenaan perlu dilihat berdasarkan keseluruhan syarat ditetapkan.
Katanya, antara perkara utama yang perlu dipatuhi ahli adalah arahan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran agama.
“Perkara pertama adalah patuh arahan parti yang tidak bercanggah dengan agama. Kalau perkara pertama itu selesai, maka yang kedua, ketiga, keempat dan kelima akan berjalan. Kalau bercanggah dengan agama, kita tidak boleh ikut. Jadi bagi saya, perkara berkaitan bayaran itu perlu dilihat dalam konteks tersebut,” katanya.
Razali turut mendakwa terdapat pihak tertentu yang cuba mendesaknya supaya keluar daripada Bersatu sebelum sebarang tindakan boleh diambil terhadapnya.
“Saya belum keluar lagi tetapi sudah dihukum atau dihakimi seperti saya sudah keluar. Saya rasa itu juga satu perkara yang bercanggah dengan prinsip agama. Kita tidak boleh mengepung seseorang supaya keluar daripada parti dan kemudian tindakan boleh diambil terhadapnya,” katanya.
Mengenai kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) pula, Razali berpandangan hubungan antara Bersatu dan Pas perlu dipertahan bagi mengelakkan perpecahan dalam gabungan berkenaan.
“Saya rasa krisis dalam PN sebenarnya berkaitan Bersatu dengan Pas. Kalau Bersatu dengan Pas sudah tidak boleh dipertemukan lagi, maka akan berlaku perpecahan dalam PN. Saya sudah berusaha sekian lama dan semua orang tahu berapa kali saya pergi berjumpa untuk mencari jalan penyelesaian, tetapi tidak berjaya.
“Ada sebahagian pihak yang memang tidak mahu bersama. Bagi saya, saya tidak bersetuju. Saya mahu bersama,” katanya. – UTUSAN




