MARANG: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dipukul adiknya yang mempunyai masalah kesihatan mental menggunakan tukul dalam kejadian di Kampung Tasek, di sini, hari ini.
Mangsa, Mohd. Nasir Ismail, 43, yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik, dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian berkenaan.
Ibu mangsa, Hasnah Sulong, 63, berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu rumah sebelum mendengar jeritan dari bahagian ruang hujung rumah.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kemudian saya mendengar bunyi seperti ada sesuatu kena pukul. Saya terus memanggil suami, Ismail Ibrahim, 80, yang berada di luar rumah. Apabila masuk ke dalam rumah, dia nampak Nasir sudah berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di sini.
Hasnah berkata, anak keduanya, Affendi, 42, yang mempunyai masalah kesihatan mental disyaki terbabit dalam kejadian itu.
Katanya, seorang lagi anaknya, Rurazmiza, 36, turut cedera di bahagian belakang akibat dipukul dengan tukul ketika cuba meleraikan kejadian berkenaan.
Hasnah yang mengalami strok berkata, kejadian berkenaan mengingatkannya kepada insiden kira-kira 12 tahun lalu apabila suaminya pernah ditikam oleh anak yang sama.
Kejadian itu bagaimanapun tidak menghalang keluarga berkenaan daripada terus menjaga dan tinggal bersama suspek.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Supritenden Saari Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. – UTUSAN




