Isu selesai, KKM lulus tuntutan elaun perpindahan penuh doktor

Isu selesai, KKM lulus tuntutan elaun perpindahan penuh doktor

asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan tuntutan elaun perpindahan penuh bagi menyokong kebajikan selain memudahkan penempatan pegawai perubatan ke Sabah serta Sarawak.

KKM dalam kenyataan malam ini berkata, kelulusan itu antara inisiatif strategik kementerian bagi memastikan cabaran kewangan tidak lagi menjadi bebanan kepada petugas kesihatan yang menerima penempatan rentas wilayah.

“Kerajaan amat prihatin dengan cabaran kewangan yang dihadapi petugas kesihatan.

“Menerusi kelulusan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), isu tuntutan kos perpindahan ini diselesaikan sepenuhnya bermula dengan pegawai lantikan tetap kohort 2025.

“Malah KKM juga berjaya memastikan kelulusan manfaat yang sama diteruskan untuk lantikan tahun 2026 dan seterusnya. Inisiatif berterusan ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam menghargai pengorbanan bakti mereka,” katanya.

Penjelasan itu dibuat susulan tular di media sosial mengenai dakwaan sebilangan doktor berdepan kekangan melapor diri ke Sabah dan Sarawak kerana mendakwa dinafikan hak membuat tuntutan kos berpindah.

Menurut kenyataan itu, manfaat itu juga selari dengan 20 Inisiatif Kerajaan MADANI Untuk Kesejahteraan Petugas KKM, yang mana pegawai bertukar status tetap layak membuat tuntutan elaun perpindahan penuh.

Sementara itu dalam perkembangan lain, KKM memaklumkan isu kekurangan doktor dan ketidakseimbangan penempatan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan mampu ditangani selepas kementerian diberikan kuasa autonomi oleh JPA untuk mengurus serta mengagihkan sendiri perjawatan.

“Melalui langkah penting ini, masalah itu dapat dikurangkan secara berfasa.

“Kerajaan turut mengambil beberapa langkah jangka panjang termasuk menawarkan pelantikan tetap kepada 4,500 pegawai perubatan kontrak pada tahun ini,” katanya.

Selain itu, KKM mewajibkan pegawai perubatan kontrak yang menerima lantikan tetap untuk memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sabah, Sarawak atau Labuan menerusi penambahbaikan sistem ePlacement bermula tahun lalu.

“Inisiatif ini sebagai usaha menangani kekurangan doktor di kawasan tertentu.

“Sementara itu, tempoh menunggu penempatan bagi program latihan siswazah perubatan turut dipendekkan kepada dua bulan berbanding lebih 10 bulan sebelum ini,” katanya.

Tambahan pula, pelaksanaan 20 Inisiatif Kerajaan Madani Untuk Kesejahteraan Petugas KKM 2026 terus diperkasa bagi menjaga kebajikan, jaminan kerjaya dan persekitaran kerja petugas kesihatan negara.

“Antaranya ialah penamatan era doktor kontrak yang diserap ke jawatan tetap secara berfasa menjelang 2028.

“Di samping itu, sebanyak 18,755 lantikan jawatan tetap merangkumi pegawai perubatan, farmasi dan pergigian turut dilaksana,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top