Pelaburan asing perlu bawa nilai tambah, tak jejas industri tempatan – Johari

Pelaburan asing perlu bawa nilai tambah, tak jejas industri tempatan – Johari

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kemasukan pelabur asing ke negara ini perlu memberi nilai tambah kepada ekonomi serta tidak menjejaskan ekosistem dan rantaian bekalan tempatan.

​Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan menyambut baik penyertaan syarikat luar untuk bersaing, namun ia mestilah berlandaskan prinsip persaingan adil.

​Menurutnya, pelaburan asing sebaliknya perlu mengukuhkan industri sedia ada dan bukannya menghakis pasaran tempatan yang dibina sejak sekian lama.

​”Kita mahu meyakinkan rakan kongsi dan pelabur asing supaya menjadi pelabur yang dipercayai serta rakan institusi.

​”Pada masa sama, mereka perlu meninggalkan sesuatu kepada kita supaya dapat membina ekosistem bersama serta wujud saling melengkapi,” katanya ketika berucap pada pembukaan Forum Ekonomi Belia di sini, hari ini.

​Mengulas lanjut, Johari memberi contoh sektor automotif yang memerlukan keseimbangan antara keterbukaan pelaburan luar dan kelangsungan industri tempatan.

​Katanya, tindakan pengeluar automotif asing berskala besar yang membawa keseluruhan rantaian bekalan dari negara asal tanpa memberi sumbangan kepada industri tempatan boleh memberi implikasi negatif kepada ekosistem sedia ada.

​”Pengguna mungkin menikmati harga lebih murah dalam jangka pendek sekiranya persaingan dibuka tanpa kawalan, namun kesan jangka panjang terhadap rantaian bekalan dan peluang pekerjaan tempatan mesti diambil kira.

​”Matlamat kita bukan untuk melindungi syarikat tempatan selama-lamanya, tetapi memastikan persaingan adil demi mengukuhkan ekonomi negara,” jelasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top