izawan@mediaprima.com.my
“LAMANYA transit sampai 10 jam di Istanbul? Apa kata pergi ke Gulhane Park, lokasi tak jauh dari lapangan terbang? Bunga tulip di sana boleh buat kita terpegun.”
Itu cadangan seorang rakan ketika saya memberitahu akan membuat liputan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia.
Ini kali ketiga saya ke Istanbul walaupun sekadar singgah sebentar. Dua kali sebelum ini kerana tugasan dan ia berjalan lancar kerana semuanya sudah diuruskan. Namun kali ini cukup mencabar kesabaran.
Saya dan jurukamera, Mohammed Firdauz Yazzer tiba-tiba di Lapangan Terbang Istanbul kira-kira jam 4 petang. Selepas berbincang, kami sepakat mahu menggunakan teksi ke Gulhane Park berbanding perkhidmatan e-hailing.
Kami tidak mahu menggunakan e-hailing kerana beranggapan hanya singgah tidak sampai setengah hari selain agak leceh untuk memuat turun aplikasi baharu semata-mata mahu menggunakannya dalam tempoh singkat. Ia satu kesilapan.
Sebaik memasuki teksi di lapangan terbang, saya dapati perkara pertama dilakukan pemandu ialah mematikan meter. Masa ini, saya rasa memang sudah ‘terkena’.
Di sepanjang perjalanan, pemandu teksi itu membebel dalam bahasa Turkiye, mungkin tidak puas hati dengan keadaan trafik ketika itu.
Apabila sebuah kereta lain tiba-tiba memotong secara berbahaya, dia mula memaki-hamun sambil menunjukkan isyarat lucah.
Lelaki itu kemudian bertanya sama ada saya faham apa yang berlaku.
Saya sekadar beritahu, isyarat yang ditunjukkannya itu ‘universal signage’ menyebabkan dia ketawa kuat.
Sebaik tiba dia Gulhane Park, memang kami terkena.
Kami diminta membayar 2,500 Turkish Lira atau RM223.28. Dua kali ganda daripada harga sebenar iaitu sekitar 1,350 lira hingga 1,600 lira sahaja.
Terpaksa juga bayar kerana sudah sampai, selain saya berharap warna-warni bunga tulip akan menyejukkan hati.
Satu lagi kesilapan. Musim bunga tulip di Gulhane Park bermula Mac dan kemuncaknya pada April.
Kami sampai di sana Jun, memang tidak ada apa, hanya rumput dan pokok yang menghijau.
Kami kemudian mengambil keputusan berjalan ke Hagia Sophia sebelum ke Masjid Sultan Ahmed atau Masjid Biru.
Selepas makan, kami mengambil keputusan kembali ke lapangan terbang, sekali lagi menggunakan teksi.
Sekali lagi satu kesilapan dan mungkin terbesar.
Pemandu kali ini bukan sekadar memaki-hamun pemandu lain malah membuka tingkap untuk menjerit.
Kerusi penumpang hadapan berada di sebelah kanan kereta, jadi bila dia membuka tingkap untuk menjerit ke arah pemandu bersebelahan, seolah-olah dia menjerit kepada saya.
Itu tidak termasuk dia dengan selamba menghisap rokok sambil memandu, tetapi yang paling buruk ialah caj dikenakan kepada kami sebanyak 3,700 lira atau kira-kira RM330.
Pada mulanya dia bersetuju mengenakan caj sebanyak 2,500 lira, namun sebaik tiba di lapangan terbang, harga naik mencanak.
Saya pada mula berkeras, tetapi terpaksa akur kerana anggota polis datang meminta teksi segera beredar selain kami perlu segera mendaftar masuk dan pergi ke balai pelepasan disebabkan masa agak suntuk.
Apabila saya membuat sedikit penyelidikan, baru sedar pemandu teksi di Turkiye terutama di lapangan terbang tidak mempunyai reputasi yang baik.
Sikap yang sangat kontradik dengan pemandu teksi di Kazan, walaupun saya berdepan situasi bertegang urat dengan pemandu teksi di sana menggunakan aplikasi Google Translate. Saya marah dia dalam bahasa Melayu diterjemah ke bahasa Rusia dan dia lakukan sebaliknya.
Tetapi kisah itu biarlah saya kongsi lain kali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




