KUALA LUMPUR – Alumni Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya (UM) dicadang menubuhkan Tabung Alumni Pengajian Media bagi menghargai graduan cemerlang selain memastikan sokongan kepada generasi baharu dapat diteruskan.
Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Madya Dr Yanti Idaya Aspura berkata, antara cadangan yang boleh dilaksanakan menerusi tabung berkenaan ialah pemberian Hadiah Alumni Pengajian Media kepada graduan cemerlang pada setiap majlis konvokesyen.
Beliau berkata, walaupun hadiah berkenaan mungkin dilihat kecil, ia membawa mesej penting bahawa alumni sentiasa mengingati, menghargai dan menyokong generasi yang datang selepas mereka.
“Saya mencadangkan jaringan alumni yang kita bina ini mempunyai sumbangan yang dapat diwariskan kepada generasi seterusnya, sebagai mesej bahawa alumni sentiasa mengingati, menghargai dan menyokong generasi yang datang,” katanya ketika merasmikan majlis pertemuan semula alumni Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi UM di Dataran Sastera UM pada Sabtu, 3 Oktober.
Menurutnya, apabila seorang graduan berdiri di pentas menerima Hadiah Alumni Pengajian Media, beliau bukan sekadar menerima sebuah anugerah, sebaliknya menerima simbol hubungan antara generasi terdahulu, generasi hari ini dan generasi akan datang.
Pertemuan semula itu buat julung kalinya menghimpunkan lebih 50 alumni daripada pelbagai generasi, susulan perkembangan bidang pengajian media dan komunikasi di UM sejak penubuhan Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif pada 1976.

Hamedi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Yanti Idaya selepas merasmikan merasmikan majlis pertemuan semula alumni Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi UM di Dataran Sastera UM pada Sabtu.
Pengerusi Majlis Pertemuan Semula Alumni Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Profesor Dr Hamedi Mohd Adnan berkata, usaha menghimpunkan semula alumni bukan sahaja menjadi ruang untuk mengimbas kembali kenangan sepanjang berada di UM, malah mengeratkan semula hubungan antara bekas pelajar dengan jabatan dan fakulti.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Prof Dr Md Azalanshah Md Syed menyifatkan alumni sebagai rakan penting kepada jabatan kerana mereka mempunyai pengalaman, pengetahuan industri, jaringan profesional dan perspektif yang boleh membantu memacu kecemerlangan jabatan.
“Alumni boleh berkongsi pengalaman dengan pelajar, membuka ruang latihan industri, membantu dalam pembangunan kerjaya, memberikan pandangan mengenai perubahan industri atau mungkin suatu hari nanti kembali ke bilik kuliah sebagai penceramah dan mentor kepada generasi baharu,” katanya.
Beliau turut mengajak alumni menyokong penganjuran International Conference on Media, Education and Technology (ICMET) yang akan berlangsung buat kali ketiga pada 1 Disember 2026.
Katanya, ICMET bukan sekadar persidangan akademik, sebaliknya menjadi ruang pertemuan antara akademik, industri, pelajar dan rakan antarabangsa bagi membincangkan perubahan dalam bidang media, teknologi dan pendidikan.
Selain itu, Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi turut merancang penganjuran Syarahan Umum Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid bagi mengenang dan mengiktiraf jasa Allahyarham dalam pembangunan pengajian media di UM.
Allahyarham merupakan antara perintis Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif yang kemudiannya berkembang menjadi Jabatan Penulisan sebelum membawa kepada penubuhan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi seperti yang wujud pada hari ini.
Program berkenaan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



