JERANTUT: Penduduk memohon pihak berwajib membina sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di kawasan khas berdekatan bandar ini bagi kemudahan serta keselesaan semua pihak.
Rungutan timbul apabila urusan pemeriksaan kenderaan terutamanya lori hanya dilakukan di bawah Jambatan Sungai Pahang berdekatan Jerantut Feri di sini yang beroperasi sejak lebih tiga tahun lalu.
Penduduk, Zulkefly Jamaludin berkata, sebaiknya diwujudkan sebuah tapak khas untuk membina pusat pemeriksaan kenderaan bukannya di tepian Sungai Pahang seperti sekarang.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Sepatutnya kemudahan ini sudah lama dirancang dan diletakkan kawasan khas yang tidak mengganggu orang ramai walaupun beroperasi sebulan sekali atau ada masa tambahan ketika banyak kenderaan.
“Seingat saya ada seorang ahli Parlimen beberapa penggal lalu pernah menjawat Timbalan Menteri Pengangkutan dan diikuti kalangan pemimpin bersilih ganti selepas itu, kenapa tidak berusaha merancang serta membina pusat tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Zulkefly berkata, ia tidak sesuai beroperasi di bawah jambatan yang sempit sedangkan kenderaan semakin bertambah kerana memerlukan pemeriksaan rapi.
“Kita berharap pihak berwajib segera membina kemudahan sebuah pusat pemeriksaan kenderaan baharu yang lengkap dan canggih dengan peralatan di tapak lain sesuai dengan pembangunan Bandar Jerantut,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Jimmy berkata, kebiasaannya ketika hari pemeriksaan bulanan, puluhan kenderaan berat diletakkan berbaris sehingga memenuhi kawasan Pekan Jerantut Feri.
“Hal ini mengundang kesesakan laluan masuk ke perkampungan terletak di pesisir Sungai Pahang dan mengganggu pelanggan yang berbelanja di kedai makan dan kedai runcit termasuk kenderaan jemaah keluar masuk di sebuah masjid di pekan itu.
Dia mendakwa, kesesakan itu berlanjutan sehingga keesokan hari sekiranya pemeriksaan dilakukan mengambil masa.
“Ini termasuklah awal sehari apabila kenderaan mula diparkir di kiri kanan jalan pekan,” katanya.
Ujarnya, penduduk berharap kemudahan itu dapat direalisasikan segera selepas Belanjawan 2027 kerana Jerantut Feri merupakan lokasi persinggahan pelancong domestik dan luar negara.
“Jika tidak kita khuatir ini akan memberikan tanggapan yang negatif, sekiranya berlaku kesesakan dan orang luar terkejut melihat pusat pemeriksaan kenderaan beroperasi di bawah jambatan seperti sekarang,” katanya. – UTUSAN




