El-Arish, Mesir: Di Sinai Utara, guru Palestin Hadeel Zourob melihat puluhan kanak-kanak Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat perang memasuki satu-satunya sekolah Palestin di wilayah itu, sebuah institusi yang dibinanya selepas konflik memaksa mereka meninggalkan rumah.
Pelajar berkenaan adalah antara ratusan kanak-kanak Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang Israel-Hamas dan kini menetap di El-Arish, bandar pesisir dengan jalan berdebu serta bangunan kediaman bertingkat rendah yang terletak 44 kilometer dari sempadan Gaza.
“Mereka melarikan diri ke Mesir dan mendapati diri mereka di sini tanpa sekolah atau pendidikan,” kata Zourob, yang turut kehilangan tempat tinggal akibat perang di Gaza, kepada AFP.
“Jadi, saya memutuskan untuk menubuhkan pusat pendidikan untuk mereka.”
Zourob, yang berusia 30-an, melarikan diri dari Gaza bersama keluarganya enam bulan selepas perang bermula pada Oktober 2023 susulan serangan Hamas terhadap Israel dan serangan besar-besaran Israel sebagai tindak balas.
Mereka menetap di El-Arish, hab bagi konvoi bantuan dan pemindahan perubatan dari Gaza, selepas saudara-mara membantu mereka memulakan kehidupan baharu.
Seperti banyak keluarga di wilayah yang bersempadan dengan Gaza itu, keluarga Zourob mempunyai saudara-mara di kedua-dua belah sempadan.
Bersama guru Palestin lain yang turut kehilangan tempat tinggal, Zourob mula memberikan pengajaran kepada sekumpulan kecil kanak-kanak di sebuah bangunan yang disewa.
Inisiatif itu kemudian berkembang menjadi sebuah sekolah percuma yang kini mempunyai hampir 400 pelajar berusia enam hingga 18 tahun, berbanding kira-kira 150 pelajar pada tahun pertamanya.
Apabila jumlah pelajar meningkat, kos sewa dan keperluan persekolahan ditanggung dengan sokongan Yayasan Misr El Kheir, antara badan kebajikan terbesar di Mesir, kata Zourob.
Kini, pusat berkenaan menjadi satu-satunya sekolah Palestin di Sinai Utara, wilayah terpencil dan kurang membangun dari segi ekonomi yang menyaksikan operasi keselamatan bertahun-tahun terhadap militan Islam selepas kebangkitan rakyat Mesir pada 2011.
‘Sukar dan tragis’
Di halaman sekolah, kanak-kanak yang memakai selendang keffiyeh hitam putih dan pakaian Palestin yang dihiasi sulaman berwarna-warni berdiri bahu-membahu sambil mengibarkan bendera Palestin dan membaca ikrar perhimpunan pagi sebelum bersurai ke kelas masing-masing.
Di dalam kelas, guru mengagihkan pen dan buku teks berdasarkan kurikulum Palestin, yang sebahagiannya dibawa dari Gaza.
Sesetengah pelajar tidak sabar membuka buku baharu mereka, manakala yang lain duduk di belakang meja untuk mengikuti pembelajaran dan menyelesaikan latihan matematik yang ditulis pada papan putih.
Di sepanjang koridor, kanak-kanak melukis rumah, bunga dan pemandangan laut menggunakan pensel warna.
Bangunan itu kemudian dipenuhi bunyi nyanyian, tepukan dan gelak tawa, yang seketika mengatasi kenangan perang yang mereka tinggalkan hanya beberapa bulan lalu.
Sesetengah kanak-kanak di sekolah itu tiba di El-Arish untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan perang, manakala yang lain melarikan diri daripada konflik bersama keluarga.
Kebanyakan mereka kini tinggal di penginapan sementara percuma yang disediakan pihak berkuasa Mesir, manakala sebahagian lagi masih menjalani pemulihan dan rawatan selepas pembedahan.
“Kami berharap mereka dapat mencapai impian walaupun berdepan keadaan sukar dan tragis yang kami lalui di luar Gaza,” kata ibu Palestin, Ons Shehta, kepada AFP.
Di luar sekolah, bas mini yang uzur bergerak di jalan raya yang tidak berturap dengan baik ketika ibu bapa menunggu untuk mengambil anak masing-masing selepas tamat kelas.
Menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lebih 14,000 kanak-kanak Palestin berusia persekolahan telah dipindahkan ke Mesir sejak perang bermula.
Generasi yang hilang
Ramai keluarga yang tiba di Mesir menghadapi kesukaran mendapatkan pendidikan dalam talian disebabkan kos akses internet dan peranti elektronik, selain peningkatan kos sara hidup serta ketidakpastian mengenai status undang-undang mereka di Mesir.
Human Rights Watch berkata, ramai keluarga pelarian dan pencari suaka di Mesir berdepan “halangan” untuk mendapatkan pendidikan, termasuk syarat pemastautinan, masalah pendaftaran dan akses terhad kepada persekolahan awam percuma.
Di Gaza pula, selepas hampir tiga tahun konflik, sistem pendidikan musnah, dengan agensi PBB menganggarkan kira-kira 98 peratus sekolah mengalami kerosakan atau musnah.
Kebanyakan daripada kira-kira 658,000 kanak-kanak berusia persekolahan di wilayah itu tidak mendapat atau hanya mendapat sedikit akses kepada pembelajaran di bilik darjah secara berkala selama lebih dua tahun akademik, sekali gus mendorong agensi bantuan dan PBB berulang kali memberi amaran mengenai ‘generasi yang hilang’.
Baru bulan lalu, ribuan kanak-kanak kembali ke bilik darjah di Gaza buat kali pertama sejak perang bermula.
Justeru, misi sekolah Zourob bukan sekadar mengajar, malah membantu kanak-kanak pulih daripada kesan psikologi akibat perang dan perpindahan sambil mengekalkan rasa kekitaan, kata guru Hamied Abu Daher.
“Kami bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menggantikan apa yang terlepas daripada pelajar dan membiasakan mereka dengan persekitaran sekolah,” katanya.
“Apabila mereka akhirnya kembali ke Gaza, suasana sekolah tidak akan terasa asing bagi mereka. Mereka masih mempunyai pengalaman dan semangat kehidupan bersekolah itu.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




