Lelaki ditembak mati ketika upacara peringatan

Lelaki ditembak mati ketika upacara peringatan

London: Polis Metropolitan memulakan siasatan kes bunuh susulan satu insiden tembakan berdarah di barat bandar ini.

Pihak polis mengesahkan seorang lelaki berusia 40 tahun ditembak mati dalam satu ‘insiden keganasan yang tidak masuk akal’ kira-kira jam 7.45 malam pada Jumaat.

Hampir 50 individu termasuk kanak-kanak berkumpul untuk satu upacara memperingati seseorang di East Acton apabila orang ramai terdengar ‘beberapa das tembakan’ dan ‘kekecohan’ di persimpangan Jalan Braybrook dan Jalan Erconwald, W12.

Dalam satu kenyataan, pihak polis menyatakan bahawa Perkhidmatan Ambulans London memberikan rawatan kepada mangsa yang cedera dan pelbagai usaha dilakukan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Keluarganya dimaklumkan dan diberikan sokongan oleh pegawai pakar.

Satu pemeriksaan bedah siasat dijadualkan bagi menentukan punca kematian namun mangsa dipercayai mengalami kecederaan akibat tembakan.

Walaupun siasatan masih di peringkat awal dan tiada tangkapan dibuat setakat ini, pihak detektif berusaha mengenal pasti keadaan sebenar kejadian itu.

Kawasan kejadian masih dikawal sebagai lokasi siasatan jenayah di Jalan Braybrook.

Ketua Inspektor Detektif Brian Howie, yang mengetuai siasatan itu.

“Kami bersimpati dengan keluarga dan rakan lelaki yang terkorban akibat tindakan keganasan yang tidak masuk akal ini.

“Kami difahamkan sekumpulan besar orang sudah berkumpul untuk satu upacara memperingati seseorang dan peristiwa yang sepatutnya menjadi detik untuk bersatu bagi tujuan memperingati itu sebaliknya menyebabkan sesebuah keluarga menanggung kesedihan yang amat mendalam.

“Kami percaya antara 40 hingga 50 orang, termasuk kanak-kanak, berada di lokasi kejadian semasa insiden ini berlaku.

Pasti ada pihak yang mengetahui perkara sebenar dan kami menggesa mereka untuk tampil memberi maklumat,” katanya.

Pihak polis meminta sesiapa yang berada di sekitar Erconwald Street, Braybrook Street, jalan berhampiran atau taman permainan Wormwood Scrubs antara jam 6 petang hingga 8 malam semalam supaya ‘mengingat kembali dengan teliti’ apa yang mereka lihat.

Dalam pada itu, saksi digesa untuk mengingati sama ada mereka ternampak individu yang ‘membawa atau menyembunyikan senjata, penunggang basikal yang berkelakuan mencurigakan, atau kenderaan yang dipandu dengan laju’.

“Kami juga ingin mendapatkan maklumat daripada sesiapa yang mempunyai gambar, video, rakaman kamera papan pemuka (dashcam), rakaman kamera loceng pintu atau telefon bimbit, mahupun mereka melihat sebarang maklumat berkaitan di media sosial.

“Walaupun mungkin kelihatan remeh, maklumat sekecil mana pun boleh menjadi kunci penting dalam membantu kami merungkai kejadian sebenar dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top