Sekolah ada CCTV atau tidak?

Sekolah ada CCTV atau tidak?

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang mempersoalkan sama ada sekolah yang terlibat dalam tragedi seorang pelajar berusia 16 tahun yang maut dipercayai dibunuh di Yong Peng, Johor mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan sejauh mana kawasan sekolah diliputi sistem berkenaan.

Pengerusi MCCC Pahang, Daniel Khoo, berkata persoalan itu perlu dijawab memandangkan isu pemasangan CCTV di sekolah sudah lama dibincangkan sebagai antara langkah meningkatkan keselamatan pelajar.

“Sekarang kita perlu tahu, sekolah berkenaan ada CCTV atau tidak? Kalau ada, CCTV itu dipasang di mana dan kawasan mana yang dipantau?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah ia meliputi laluan pelajar, pintu masuk, koridor dan kawasan lain yang mempunyai risiko keselamatan?” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemasangan CCTV tidak seharusnya hanya dilihat dari segi jumlah kamera yang tersedia, sebaliknya lokasi pemasangan, keadaan kamera dan sistem penyimpanan rakaman juga perlu diberi perhatian.

“Jangan sekadar mengatakan sesebuah sekolah mempunyai CCTV. Kita perlu tahu berapa banyak kamera dipasang, di mana lokasinya, siapa yang memantau dan adakah rakaman itu boleh digunakan apabila berlaku sesuatu kejadian,” ujarnya.

Daniel berkata, Kementerian Pendidikan juga perlu mempunyai rekod yang jelas mengenai tahap keselamatan setiap sekolah termasuk lokasi kamera dipasang serta kawasan yang masih mempunyai jurang pemantauan.

Katanya, audit sedemikian penting supaya kelemahan dapat dikenal pasti lebih awal dan tidak hanya diberi perhatian selepas berlaku tragedi.

“Berapa banyak lagi perkara perlu berlaku sebelum kita benar-benar melihat keselamatan sekolah sebagai satu perkara yang serius? Kita tidak boleh ringan-ringankan isu ini.

“Apabila melibatkan nyawa pelajar, semua kelemahan perlu dilihat dan diperbaiki,” tegasnya.

Dalam pada itu, Daniel mencadangkan supaya pihak polis memainkan peranan lebih aktif dalam aspek pencegahan melalui pemantauan dan rondaan berkala di kawasan sekolah bagi mengenal pasti risiko termasuk kemasukan individu luar, kegiatan gangsterisme, pergaduhan atau sebarang ancaman terhadap pelajar.

“Kita berharap Ketua Polis Negara dapat melihat perkara ini dan mempertimbangkan satu mekanisme pemantauan berkala di sekolah.

“Tidak semestinya setiap sekolah perlu mempunyai anggota polis secara tetap, tetapi pemantauan dan rondaan berkala perlu dilakukan supaya kita tahu apa yang berlaku di kawasan sekolah dan dapat mengesan sebarang risiko lebih awal,” katanya.

Daniel turut mempersoalkan fungsi pasukan kadet yang terdapat di sekolah dan melihatnya sebagai satu lagi mekanisme yang boleh dimanfaatkan dalam usaha pencegahan jenayah.

Menurutnya, kadet boleh diberi pendedahan yang bersesuaian untuk membantu pihak sekolah dan PDRM menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan gangsterisme, buli atau masalah keselamatan dalam kalangan pelajar.

“Setiap sekolah ada kadet. Persoalannya, kadet ini mempunyai fungsi atau tidak dalam membantu aspek keselamatan dan pencegahan jenayah?

Kalau dilatih dengan betul, mereka boleh menjadi mata dan telinga PDRM di peringkat sekolah kerana mereka lebih dekat dengan rakan sebaya dan mungkin mengetahui perkara yang berlaku lebih awal,” tegasnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peranan itu perlu mempunyai garis panduan yang jelas dan tidak bermakna pelajar mengambil alih tugas guru atau polis.

Sebaliknya, maklumat yang diperoleh boleh membantu pihak sekolah dan PDRM mengenal pasti masalah lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih serius.

“Kita tidak mahu hanya bertindak selepas berlaku sesuatu. Kita mahu pencegahan.

Sekolah adalah tempat ibu bapa menghantar anak untuk belajar dan mereka berhak berasa yakin bahawa keselamatan anak-anak mereka diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya.

MCCC Pahang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap siasatan pihak berkuasa terhadap tragedi berkenaan dapat dijalankan secara menyeluruh.

Pada masa sama, Daniel berkata ibu bapa yang mendapati pihak sekolah tidak mengambil serius sebarang isu berkaitan keselamatan pelajar boleh menyalurkan aduan kepada MCCC Pahang melalui talian 014-994 6697 untuk perhatian dan tindakan lanjut. -UTUSAN

Scroll to Top