puterialia@hmetro.com.my
Shah Alam: Penyanyi Zaki Yamani menganggap pencalonannya dalam Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT 2026) sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan karier seninya.
Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, berkata kelab peminatnya sanggup mengeluarkan wang sehingga ribuan ringgit untuk mengundinya di anugerah berkenaan.
Menurutnya, keadaan berkenaan membuatkan dia amat menghargai usaha yang dilakukan peminatnya.
“Saya sebenarnya lebih kepada takut sebab mereka keluarkan duit. Ada peminat yang keluarkan cecah ribuan ringgit untuk undi saya.
“Saya sebagai orang yang diundi, saya agak terkelu. Saya boleh kata ini usaha mereka dan saya sangat hargai,” katanya ketika ditemui pada Hari Gabungan Kuasa, Meet & Greet AMT 2026 di MyKart Raceway, di sini, hari ini.
Tidak meletakkan harapan untuk menang, Zaki berharap sokongan peminat mampu membawanya sekurang-kurangnya ke kelompok tiga atau lima terbaik.
Menurutnya, dia pernah bolos senarai pencalonan awal bagai kategori Artis Baharu Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-34 pada 2021, namun tidak berjaya mara ke peringkat akhir selepas kurang mendapat sokongan daripada kelab peminat.
Melihat sendiri sokongan kuat yang diberikan peminat, Zaki beranggapan bahawa pencalonan kali ini menjadi lebih bermakna buat dirinya.
“Tetapi saya harap cita-cita peminat saya tercapai. Kalau saya tak menang pun tak apa. Sekurang-kurangnya saya antara Top 5 atau Top 3.
“Sebab saya rasa itu adalah satu benda yang saya nak capai dalam hidup saya. Saya dulu pernah tercalon, tetapi tersingkir sebab ketika itu belum ada kelab peminat yang kuat.
“Jadi, sekarang saya pun tak sangka yang saya ada peminat yang kuat dari segi memberi sokongan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Zaki tercalon dalam dua kategori di AMT 2026 iaitu kategori Fresh Rising Star Terhangat Darlie dan Selebriti Chemistry Terhangat.
AMT 2026 bakal berlangsung pada 18 Oktober depan, jam 9 malam dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta Tonton.
© New Straits Times Press (M) Bhd




