Empat sukan perlu ‘dibedah siasat’ – KP MSN

Empat sukan perlu ‘dibedah siasat’ – KP MSN

KEGAGALAN olahraga, renang, memanah dan menembak menyumbang pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 perlu ‘dibedah siasat’ bagi mengenal pasti kelemahan serta memperkemas semula sistem pembangunan sukan berkenaan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, penilaian menyeluruh perlu dilakukan bersama persatuan dan barisan kejurulatihan, termasuk dari aspek perancangan serta persiapan atlet.

“Olahraga, memanah, renang dan menembak sebenarnya mampu untuk bersaing di peringkat lebih tinggi. Bagaimanapun, kita perlu menilai semula perancangan bersama persatuan dan jurulatih serta mengenal pasti tindakan yang perlu dibuat,” katanya pada sidang media rumusan pencapaian kontinjen Malaysia di Nagoya pada Ahad.

Menurut Jefri, jurang prestasi antara Sukan SEA dan Sukan Asia menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian selepas atlet daripada empat sukan berkenaan mampu mencatat kejayaan di peringkat serantau tetapi gagal mengulanginya di pentas lebih tinggi.

“Mereka berjaya memenangi pingat emas di peringkat Sukan SEA, tetapi masih gagal memenangi pingat emas di Sukan Asia. Jadi, segala sokongan, bantuan dan perancangan perlu dibuat bersama persatuan dan jurulatih supaya atlet dapat mencapai tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, renang memerlukan pendekatan pembangunan yang lebih berperingkat kerana atletnya perlu terlebih dahulu memperkukuh prestasi di peringkat Asia Tenggara sebelum mampu mencabar kelompok terbaik Asia.

“Bagi renang, mereka memang perlu bersaing di peringkat Sukan SEA dahulu sebelum mengintai peluang untuk meraih pingat di Sukan Asia. Perjalanan mereka masih jauh,” katanya.

Bagi olahraga pula, Jefri berkata, kegagalan di Aichi-Nagoya perlu menjadi asas kepada penilaian semula terhadap perancangan, barisan kejurulatihan serta kelemahan yang menghalang atlet daripada mencapai sasaran.

Katanya, tindakan susulan perlu dimulakan segera dan tidak hanya menunggu sehingga menjelang temasya seterusnya, dengan aspek latihan, kejurulatihan serta pengurusan persatuan diberi perhatian.

“Kita perlu lebih banyak perbincangan dengan pihak persatuan untuk memperbaiki sistem. Perancangan perlu dimulakan dari sekarang, termasuk aspek latihan, persatuan dan kejurulatihan supaya mereka membuat persiapan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nasir Ali berkata, memanah dan menembak mempunyai potensi untuk kembali kompetitif sekiranya aspek kelengkapan, pendedahan pertandingan dan khidmat kejurulatihan dipertingkatkan.

“Kalau kita lihat kemampuan, kita sebenarnya ada potensi dalam dua sukan ini. Cuma mungkin dari segi kelengkapan, jurulatih dan pendedahan pertandingan perlu dipertingkatkan,” katanya.

Scroll to Top