Ibu kongsi detik akhir Gbob Raja Lawak sebelum meninggal dunia

Ibu kongsi detik akhir Gbob Raja Lawak sebelum meninggal dunia

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jenazah pelawak dan pelakon Gbob Raja Lawak yang meninggal dunia, pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah 3, Kampung Melayu Kepong, di sini, selepas solat Asar.

Ibunya, Hayati Abdul berkata, Gbob atau nama sebenarnya Muhammad Hamizi Hashim, 40, mengalami sawan sehingga terjatuh dan mengalami pendarahan di kepala sebelah kanan sejak 10 hari lalu.

“Along (Gbob) kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang dan menghembuskan nafas akhir pada jam 10 pagi tadi dalam keadaan yang baik.

“Dia sebenarnya pernah mengalami pendarahan otak sebelah kiri pada 2019 menyebabkannya mengalami strok dan dengan izin Allah SWT, keadaan kesihatannya beransur-ansur pulih.

“Sepanjang tahun ini, memang dia kadang sakit, kadang masuk wad dan sawan, tapi tak seteruk sawan dialami kali ini,” katanya kepada Harian Metro.

Hayati berkata, dua tahun kebelakangan ini, Gbob dalam keadaan sihat tanpa ada tanda-tanda yang menampakkan dia mengalami sakit kepala atau tanda-tanda sawan.

“Sepanjang dua tahun ini, dia pandai berdikari, menguruskan diri, menjaga makan minum sendiri dan menjaga segala ubat-ubatan yang diberi oleh doktor iaitu cara makan dia.

“Akal pun dah mula datang semula. Tapi ditakdirkan pada Jumaat lalu sekitar jam 5.30 petang, Gbob kena sawan semula dan tak sedarkan diri. Jadi mak cik terpaksa panggil ambulans untuk bawa ke Hospital Selayang.

“Dia ditempatkan di zon kritikal dan Gbob memang tak boleh bangun lagi dan terpaksa ditidurkan. Kami kemudian dapat info daripada doktor pakar otak bahawa Gbob tak boleh lagi buat pembedahan,” katanya.

Katanya, keluarga kemudian diberitahu berlaku pula pendarahan otak di sebelah kanan menyebabkan dua-dua otaknya cedera.

“Jadi tak boleh ambil risiko buat pembedahan sebab nyawa Gbob 50-50, tapi doktor usaha juga untuk selamatkan dia walaupun sudah bagi ubat tidur.

“Bila cuba bangkitkan dia, sawan dia berulang-ulang tanpa berhenti. Jadi terpaksa ditidurkan lagi sehinggalah hayatnya berakhir hari ini,” katanya.

Hayati berkata, hari-hari terakhir sebelum terkena sawan, Gbob tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bahawa dia dalam kesakitan.

“Dia seorang yang happy, sangat happy. Jadi doktor kata dia punya otak pun dah mula senget dan mata pun dan bebola mata dah tak seiring,” katanya.

Selepas bercerai, Gbob tinggal bersama ibunya di Kepong.

Allahyarham Gbob pernah menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 menerusi kumpulan ON X ON bersama Che Mat dan Azrul Zaidi.

Dia pernah membintang filem Halim Munan, Strawberi Cinta dan Operasi X serta pelbagai drama antaranya Nasi Minyak Kuah Cinta dan terbaru, Bila Hati Berbisik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top