Penerbit rayu kaki wayang terus sokong filem Orang Perang di pawagam

Penerbit rayu kaki wayang terus sokong filem Orang Perang di pawagam

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Bukan ditarik terus, (filem) Orang Perang masih ditayangkan di pawagam untuk beberapa tayangan sebab kita di bawah Skim Wajib Tayang yang menetapkan 14 hari tayangan.

“Cuma pada hari keempat, pihak pawagam akan tengok ‘result’ selepas jam 12 tengah malam macam mana kutipan hari ini,” kata Penerbit filem terbabit, Qhaisharq Abd Mutalip.

Beliau yang menerbitkan filem berkenaan di bawah syarikatnya, 3Line Media Sdn bersama Nanord Studio Production memaklumkan sekiranya kutipan belum sampai 60 peratus, maka slot tayangan mungkin akan dikurangkan.

“Mungkin daripada beberapa pawagam akan dikurangkan slot tayangan daripada empat jadi dua, contohnya. Mereka tidaklah tarik keluar (filem ini kerana) dalam tempoh Syarat Wajib Tayang itu.

“Ini filem pertama terbitan 3Line Media. Harapan saya agar orang (kaki wayang) serbu pawagam, hari ini sebab kami sedang ‘berperang’ sekarang.

“Sebabnya penonton masih tak datang panggung. Saya mengharapkan mereka datang ke panggung sebab bagi saya, penonton adalah ‘peluru’ bagi kami untuk terus berperang di pawagam.

“Ibarat pawagam ini adalah medan peperangan kami. Kami mengharapkan sokongan dan dorongan penonton, kaki-kaki wayang untuk hadir ke pawagam support ‘Orang Perang’,” katanya.

Pada masa sama, Qhaisharq turut mempunyai perancangan untuk menyiarkan filem ini menerusi platform Netflix, suatu masa nanti.

“Kita ada plan… insya-Allah. Satu lagi saya nak ulas adalah mengenai kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang beri takrifan 18. Bila 18, ada keluarga yang nak pergi tengok, tapi sukar nak tinggalkan anak-anak di rumah.

“Itu jadi salah satu puncalah. Klasifikasi 18 tahun itu menjadikan kesukaran keluarga untuk pergi ke pawagam, sebab terpaksa tinggal anak-anak di rumah, agak sukarlah,” katanya.

Terdahulu, pengarah Orang Perang, Hashim Rejab menerusi Facebooknya memaklumkan pihak pawagam menurunkan tayangan Orang Perang disebabkan kurang sambutan penonton dan mahu memberikan laluan kepada filem Munafik.

Hashim yang dihubungi berkata, perubahan zaman mungkin menjadi faktor membuatkan generasi sekarang berasa jauh dengan filem kenegaraan dan kemerdekaan.

“Mereka tak ambil benda itu penting sebab lahir dalam situasi tiada kesusahan, tak ada rasa perlu cerita-cerita perang. Ia berbeza dengan generasi terdahulu.

“Ketika itu cerita komunis masih ada. Orang masih bercerita, tentera masih berperang dengan komunis. Bila zaman sekarang, generasi baru mereka tak nampak benda itu.

“Mereka hanya tahu melalui cakap-cakap, melalui cerita-cerita saja, dan kebanyakannya tak ambil tahu pun, jadi mereka tak berminatlah agaknya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top