am@hmetro.com.com.my
Batu Pahat: Rumah nenek Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, terus menjadi tumpuan orang ramai sejak awal pagi hari ini.
Kebanyakan mereka berkumpul sejak awal pagi sebaik mendapat tahu berita menimpa pelajar perempuan tingkatan empat itu.
Bacaan Yasin turut dijalankan di rumah nenek mangsa sementara menunggu ketibaan jenazah pada 6.30 petang selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Jenazah Irene Sofiya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Arshad sebelum Maghrib.
Terdahulu, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian Irene Sofiya yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan kira-kira 7 malam tadi di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat kejadian berkenaan pada 5.50 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




