PERKIM Selangor santuni 400 asnaf, saringan kesihatan percuma

PERKIM Selangor santuni 400 asnaf, saringan kesihatan percuma

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Klang: Kira-kira 400 golongan asnaf termasuk mualaf, fakir miskin dan anak yatim mendapat manfaat saringan kesihatan secara percuma menerusi Kem Saringan Kesihatan Komuniti di Masjid Jamek Ar Rahimiah, di sini, hari ini.

Program anjuran Biro Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Selangor, Masjid Jamek Ar Rahimiah Klang, Klinik Kesihatan Pandamaran, Management and Science University (MSU), Bengkel Daya Klang dan PERKIM Klang itu berlangsung dari 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Presiden PERKIM Klang, Hushim Salleh berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada pemeriksaan kesihatan komuniti termasuk pemeriksaan kencing manis dan darah tinggi.

“Lebih kepada pemeriksaan kesihatan kepada komuniti masyarakat di Klang, termasuk warga emas, ibu tunggal dan golongan miskin.

“Semua perkhidmatan ditawarkan hari ini adalah percuma,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, program itu turut menyediakan sesi kaunseling, ujian kesihatan mental serta kaunseling keluarga termasuk kepada anak-anak.

“Sekarang ini orang mudah mengalami stres, sebab itu kesihatan mental sangat penting, terutama dalam kalangan anak muda dan remaja,” katanya.

Hushim berkata, pemeriksaan mata turut dijalankan dengan kerjasama MSU, manakala perkhidmatan perubatan disediakan Klinik Kesihatan Pandamaran.

Katanya, kira-kira 10 kaunselor berdaftar turut terbabit dalam program berkenaan bagi menyediakan perkhidmatan kaunseling dan ujian kesihatan mental.

Beliau berkata, golongan ibu tunggal, mualaf dan fakir miskin turut menerima bantuan berupa barangan dapur seperti beras, minyak dan susu.

“Kita turut mengadakan cabutan bertuah dan memberikan barangan kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Hushim berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk mengadakan program seumpama itu dengan lebih kerap, namun ia memerlukan komitmen besar terutama dari segi kewangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top