Parti Hijau UK terima dasar ‘Zionisme berunsur perkauman’

Parti Hijau UK terima dasar ‘Zionisme berunsur perkauman’

LONDON – Parti Hijau berhaluan kiri di United Kingdom (UK) pada Ahad mengundi untuk mentakrifkan Zionisme sebagai satu bentuk perkauman pada persidangan tahunan parti itu, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati komuniti Yahudi di negara itu dan kerajaan ‘ekstremis’ Israel.

Anggota parti itu yang mempunyai lima ahli Parlimen daripada 650 kerusi di Parlimen Britain dan meraih sokongan lebih besar dalam beberapa pilihan raya tempatan serta pilihan raya kecil baru-baru ini meluluskan usul berkenaan dengan 1,022 undi menyokong manakala 813 menentang.

Menurut usul itu, Zionisme akan ‘dilayan seperti mana-mana bentuk rasisme lain’ dan parti tersebut menyokong penubuhan sebuah negara Palestin demokratik tunggal.

“Ini merupakan perbahasan serius oleh anggota parti kami,” ujar jurucakapnya.

Parti Hijau menikmati peningkatan populariti di bawah kepimpinan Zack Polanski yang berkarisma dengan menarik sokongan pengundi yang tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan Parti Buruh berhaluan sederhana terhadap perang Israel-Hamas.

Bagaimanapun, sokongan terhadap Polanski merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini susulan beberapa kontroversi.

Difahamkan, Polanski yang kini bertanding untuk menjadi Ahli Parlimen di kawasan pilihan raya London yang pernah diwakili bekas Perdana Menteri, Keir Starmer tidak menghadiri pengundian tersebut.

Walaupun tiga daripada lima ahli Parlimen Parti Hijau menentang usul itu, Polanski pada minggu lalu menyifatkan pemindahan dan pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin jelas satu bentu rasisme. – Agensi

Scroll to Top