Polis kesan lelaki ceroboh, tuang cecair busuk dalam masjid

Polis kesan lelaki ceroboh, tuang cecair busuk dalam masjid

am@hmetro.com.my

Tumpat: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan khianat dalam sebuah masjid di Kampung Berangan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 6.35 pagi.

“Maklumat yang diterima daripada orang awam berhubung satu kejadian khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan.

“Pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid dipecahkan dan terdapat cecair berwarna coklat kehijauan serta berbau kurang menyenangkan dituang pada karpet di ruang solat.

“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Khairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 427 KK, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek, motif kejadian serta jumlah kerosakan atau kerugian yang dialami.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top