SELAYANG: Qaseh Riana Dafira Mohd Rafiuddin muncul wira Malayan Tigress B-17 apabila jaringannya pada minit ke-79 memastikan skuad muda wanita negara membuka kempen Kumpulan E Kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 dengan kemenangan 1-0 ke atas Syria, sebentar tadi.
Memuatkan artikel berkaitan…
Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, skuad kendalian Takayoshi Ishihara terpaksa menunggu sehingga 10 minit terakhir permainan sebelum berjaya memecahkan kebuntuan.
Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada babak pertama dengan masing-masing melakukan percubaan ke gawang lawan namun gagal menghasilkan jaringan, sekali gus menyaksikan kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat 45 minit pertama.

Bersambung babak kedua, Malayan Tigress B-17 meningkatkan tekanan bagi mencari gol pembukaan, namun Syria terus bertahan dengan baik untuk menyukarkan usaha skuad negara.
Percaturan Takayoshi memasukkan Qaseh Riana akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian itu menyudahkan hantaran silang Lim You dengan kemas pada minit ke-80 untuk meletakkan Malaysia di hadapan.
Gol tersebut ternyata menjadi pemisah apabila Malayan Tigress B-17 berjaya mempertahankan kelebihan berkenaan sehingga wisel penamat untuk mengutip tiga mata penting.
Qaseh Riana mengakui jaringan itu tidak akan hadir tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan selain memuji mentaliti skuad negara yang enggan berputus asa dalam memburu kemenangan.
“Saya dapat jaringan hasil bantuan rakan-rakan sepasukan. Mentaliti kami untuk menang hari ini sangat baik.
“Saya harap pada perlawanan seterusnya saya dan juga rakan sepasukan dapat menjaringkan lebih banyak gol. Terima kasih kepada penyokong yang hadir memberi sokongan kepada kami,” katanya selepas perlawanan.

Kemenangan ke atas Syria memberikan permulaan positif buat Malayan Tigress B-17 dalam usaha memburu kedudukan terbaik dalam Kumpulan E.
Malaysia selepas ini akan meneruskan cabaran menentang Iraq pada Khamis sebelum melengkapkan saingan kumpulan berdepan India pada Ahad.
Kedua-dua perlawanan berkenaan turut berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.-UTUSAN




