4 maut di Gerik: Keluarga dimaklum Hafiz Daniel ada kerja di Perak

4 maut di Gerik: Keluarga dimaklum Hafiz Daniel ada kerja di Perak

am@hmetro.com.my

Bachok: Tiada lagi anak sulung yang menjadi kebanggaan keluarga selepas pemergian Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairy dalam kemalangan di Kilometer 38.5 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Gerik pada Ahad.

Bapanya, Nik Hairey Nik Rahim, 42, berkata, Mohamad Hafiz Daniel, 19, adalah anak sulung daripada empat beradik dan seorang yang ceria serta mudah berkawan.

Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah adalah pada malam sebelum anaknya itu bertolak ke Gerik pada 4 pagi Ahad, malah sebelum itu anaknya juga tidak menunjukkan sebarang tanda akan pergi buat selamanya.

“Anak maklum kepada ibunya, ada kerja di Perak.. dia nak pergi dengan rakan dia, cuma urusan apa dia tak beritahu.

“Lepas itu, kami dapat berita kematian dia dalam jam 6.00 petang,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Jawa, Budi, Tawang, di sini, malam tadi.

Terdahulu jenazah Mohamad Hafiz Daniel tiba di rumah keluarga pada 7 malam dari Hospital Taiping, Perak dengan keluarga dan rakan diberi peluang menatap buat kali terakhir serta disolatkan.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan, diiringi lebih 200 orang sebelum selamat dikebumikan pada 10.45 malam.

Pemuda itu antara empat individu yang maut dalam nahas pada tengah hari Ahad yang membabitkan tiga kenderaan.

Tiga lagi yang maut adalah Al Zubair Deraman, 31; Tuan Syazrin Tuan Mud, 40, dan anaknya, Safiyya Haura Mohamad Sanuzi, 3, manakala seorang lagi anak Tuan Syazrin dilapor parah dan dirawat di Hospital Taiping.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top