Lelaki 71 tahun didakwa rogol anak majikan dalam tandas pusat beli-belah

Lelaki 71 tahun didakwa rogol anak majikan dalam tandas pusat beli-belah

am@hmetro.com.my

Georgetown: Lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak majikannya dalam tandas sebuah pusat beli-belah, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 71 tahun itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan itu dalam tandas lelaki yang terletak di tingkat dua sebuah pusat beli-belah, di sini, pada 4.30 petang 1 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa pada masa dan lokasi yang sama.

Tertuduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen, manakala tertuduh diwakili K Mahendran.

Pendakwaan kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan melarang tertuduh mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, pembelaan memohon jumlah itu dikurangkan dan memaklumkan anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan dan ditanggung anaknya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,000 bagi kedua pertuduhan oleh seorang penjamin warga Malaysia dan mengarahkan tertuduh melapor diri ke balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 November depan sebagai tarikh serah serahan dokumen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top