KUALA LUMPUR – Malaysia merupakan negara pertama yang berjaya membawa pulang rakyat Myanmar ke negara asal mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah rakyat Myanmar yang berada di negara ini mencecah 200,000 orang dan ia membebankan negara.
Menurutnya, rekod terakhir lebih 10,000 rakyat Myanmar dihantar pulang menerusi hasil rundingan kedua -dua negara
“Ia termasuk lebih 1,400 yang dihantar dengan kapal tentera laut Myanmar yang kita beri laluan baru – baru ini.
“Masyarakat tentunya resah kerana bila jumlah begitu besar, ia melibatkan juga soal pekerjaan, keselamatan dan juga keselesaan hidup rakyat tempatan. Jadi kita harus bertegas.
“Sebab itu, sejak dua tahun yang lalu, kita mengambil keputusan mengadakan rundingan terus dengan Kerajaan Myanmar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (Pakatan Harapan-Pulai) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Anwar, menerusi rundingan itu, Malaysia menetapkan dua syarat utama iaitu warga Myanmar perlu dibawa pulang ke negara asal dan mendapat jaminan layanan yang munasabah.
“Saya faham kegelisahan masyarakat antarabangsa, termasuk hak asasi manusia, dan juga teguran oleh rakan-rakan dalam Parlimen dan juga badan-badan bukan kerajaan di luar Parlimen.
“Tapi syarat yang kita berikan pertama, mesti bawa pulang rakyat Myanmar yang kedua, mestilah jamin layanan yang munasabah kepada rakyat sendiri supaya tidak ada penderaan, penekanan dan pelanggaran hak asasi,” katanya.
Anwar berkata, isu berkenaan akan terus dibangkitkan dalam kunjungan Presiden Myanmar ke Malaysia dalam beberapa hari akan datang, termasuk dalam perbincangan bersama Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri.
Beliau berkata, Malaysia turut terikat dengan kerjasama ASEAN dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu Myanmar, selain mengambil kira kebimbangan masyarakat antarabangsa berkaitan aspek hak asasi manusia



