am@hmetro.com.my
Melaka: Suri rumah dihukum penjara 12 bulan dan didenda sebanyak RM8,000 selepas didapati bersalah menyamar sebagai pengarah kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Pengarah JIM Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, wanita berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, semalam.
Menurut beliau, wanita tempatan itu didapati memiliki dokumen mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang sudah dipalsukan.
“Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara sselama 12 bulan berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan selain dikenakan denda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Anirwan, tertuduh tidak diwakili peguam sepanjang prosiding pendakwaan yang dijalankan JIM Negeri Melaka.
Katanya, JIM Negeri Melaka memandang serius sebarang cubaan menyamar sebagai pegawai imigresen atau memalsukan dokumen berkaitan perkhidmatan jabatan itu.
“Perbuatan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengelirukan orang awam serta menjejaskan keyakinan terhadap integriti dan kewibawaan JIM.
“JIM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam perbuatan sedemikian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




