Dua wanita dakwa maklumat peribadi didedahkan pakar teknologi di media sosial

Dua wanita dakwa maklumat peribadi didedahkan pakar teknologi di media sosial

Florida, Amerika Syarikat: Niat asal mahu mendapatkan bantuan teknologi bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dua wanita mendakwa maklumat peribadi mereka didedahkan menerusi TikTok oleh individu yang mereka hubungi untuk mendapatkan bantuan.

Memetik laporan The Independent, Mark Stephen Asea, 36, yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Demonologis’ di TikTok, ditahan Rabu lalu pertuduhan jenayah mengakses komputer atau peranti elektronik tanpa kebenaran.

Asea dari Port St. Lucie sebelum ini ditahan pada April lalu atas dakwaan menghendap dan kesalahan berkaitan komputer, namun kes jenayah berkenaan digugurkan pihak pendakwaan pada Mei.

Penahanannya minggu lalu bagaimanapun membawa kepada pembukaan semula kes berkenaan, lapor Fox News.

Menurut afidavit polis, dua wanita yang mendapatkan bantuan teknologi daripada Asea kemudian mendapati maklumat peribadi mereka didedahkan menerusi video TikTok miliknya.

Dalam satu video, Asea didakwa berkongsi butiran mengenai peranti milik seorang mangsa selain mendakwa mengetahui perbelanjaan terbaharu wanita itu.

“Mari kita bincang pasal kata laluan sebenar anda. Bagaimana kalau kita bincangkan 10 pembelian dalam talian terakhir yang anda buat?” katanya dalam video berkenaan.

Mangsa kemudian memberitahu penyiasat bahawa kata laluan itu hanya dikongsi dalam kumpulan sembang tertutup TikTok yang tidak disertai Asea.

Wanita itu turut menegaskan tiada sesiapa dalam kumpulan berkenaan diberi kebenaran berkongsi kata laluan itu selain mempersoalkan sama ada Asea menyertai kumpulan itu menggunakan akaun palsu.

Dia juga memaklumkan tidak mengetahui bagaimana Asea memperoleh nombor pengenalan identiti telefon atau maklumat perbankannya.

Mangsa kedua pula memberitahu polis bahawa dia membenarkan Asea mengakses komputernya secara kawalan jauh pada Oktober 2025 bagi menyelesaikan masalah satu aplikasi.

Namun, beberapa bulan kemudian, Asea didakwa memasukkan virus secara rahsia ke dalam komputer wanita itu sekali gus memberikannya akses kepada semua maklumat tanpa pengetahuannya.

Wanita berkenaan turut memberitahu pihak berkuasa bahawa gambar mesej Telegram peribadi daripada telefonnya kemudian muncul dalam salah satu hantaran TikTok Asea.

Penyiasat turut menemukan bukti Asea mendakwa berjaya mengesan lokasi wanita itu menerusi telefon bimbitnya selain mendapati Asea memuat naik lebih 100 video TikTok yang menyebut mengenai wanita berkenaan.

Pendakwaan membuka semula kes jenayah terhadap Asea pada 24 September lalu dan mengemukakan pertuduhan rasmi atas dakwaan mengakses komputer atau peranti elektronik tanpa kebenaran.

Asea turut menghadapi kes perdata berkaitan perintah perlindungan gangguan pada musim panas, namun hakim membatalkan kes itu pada 8 September. Dia dibenarkan diikat jamin sebanyak AS$35,000 (kira-kira RM143,000) dan dijadualkan dihadapkan ke mahkamah pada 19 November depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top