Karnival kerjaya bantu lebih 1,400 pencari kerja dapat pekerjaan

Karnival kerjaya bantu lebih 1,400 pencari kerja dapat pekerjaan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 1,400 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan dan lulus saringan temu duga menerusi National Graduate Career Fair 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), 3 dan 4 Oktober lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, calon yang berjaya di peringkat temu duga secara terus menerima tawaran gaji mencecah sehingga RM8,000 sepanjang dua hari karnival itu berlangsung.

“Karnival dihadiri lebih 7,200 pencari kerja ini adalah antara pendekatan kerajaan untuk memperkukuh pasaran buruh negara dengan memastikan pertumbuhan peluang pekerjaan turut disokong sistem padanan tenaga kerja yang lebih cekap, responsif dan dinamik.

“Usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini turut selari agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menangani isu ketidakpadanan kerjaya berkaitan kemahiran,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta karnival, Janani Arifah, 31, menyifatkan program berkenaan sangat bermanfaat dengan dia berjaya mendapatkan pekerjaan di Syarikat KPJ Healthcare Berhad.

Katanya, karnival kerjaya seperti itu membantu graduan dan pencari kerja yang belum mendapat pekerjaan kerana dapat berinteraksi dengan lebih ramai calon majikan pada satu-satu masa berbanding kaedah konvensional.

Ia turut diakui seorang lagi peserta karnival yang juga graduan Diploma Pentadbiran Perniagaan, Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Lee Jiang Hui, 21, yang menyatakan platform itu merupakan ruang terbaik untuk mendapatkan kerjaya idaman sekali gus mengasah kemahiran graduan untuk menjalani temu duga agar lebih bersedia.

Daripada persepektif majikan, karnival itu dilihat sebagai platform yang baik untuk mereka menemui bakat tempatan dengan lebih pantas dan cekap.

Wakil majikan IBM Malaysia, Aimi Che Rahim berkata, mereka menerima sambutan menggalakkan pada hari pertama karnival apabila seramai 93 calon mendaftar dan menghantar permohonan terus ke sistem syarikat.

“Daripada lapan calon yang ditemu duga di tempat kejadian, tiga calon lulus dan disyorkan untuk diambil bekerja, dua calon akan meneruskan temu duga kedua bagi penilaian bahasa dan kemahiran manakala tiga calon lagi tidak disenarai pendek kerana latar belakang tidak sepadan dengan kemahiran yang diperlukan,” katanya.

Untuk rekod, program ini mendapat penglibatan majikan utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia (BNM), Bursa Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) manakala Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut menyokong dengan menawarkan pekerjaan kepada pengunjung.

Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan tahap kemahiran termasuk maklumat dan komunikasi, kewangan, pembuatan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal, pengangkutan dan penyimpanan serta kesihatan dan kerja sosial.

Lebih separuh atau 52.91 peratus daripada keseluruhan kekosongan menawarkan gaji melebihi RM3,000 sebulan, dengan jawatan Eksekutif Akaun bermula kira-kira sebanyak RM3,000 manakala jawatan tertentu seperti Pengurus Teknologi Maklumat (IT) mencecah RM17,000 sebulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top