am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang pengarah syarikat dan pekerja kilang plastik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencuri sebuah lori di kawasan perindustrian di Masai, akhir bulan lalu.
Tertuduh, Chai Min Quan, 37, dan Low Boon Lai, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret A Shaarmini.
Mereka didakwa bersama-sama mencuri lori di parkir hadapan pam minyak di Taman Perindustrian Plentong, Masai di sini, 7.40 pagi, 30 September lalu.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah berasingan, Boon Lai turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu lori curi secara berbahaya di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Tertuduh didakwa memandu kenderaan berkenaan di atas jalan raya secara melawan arus dan membuat pusingan U yang merbahaya kepada orang awam di Jalan Mawar Biru, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini, 10.20 pagi, hari sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000.
Tertuduh turut hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh lima tahun, jika sabit kesalahan.
Manakala di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab pula, Boon Lai turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lain.
Dia didakwa dengan sengaja menghalang anggota polis dalam menjalankan kerja-kerja jawatannya di kawasan pentadbiran Balai Polis Pasir Putih di sini, 8.25 pagi, hari sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa memiliki dadah berbahaya methamphetamine dengan berat kasar 0.7 gram di tepi Jalan Mawar Biru, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini, kira-kira jam 10.20 pagi, hari sama.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dengan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Min Quan turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim N Kanageswari di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan cuba membunuh seorang wanita berusia 44 tahun dengan cara melanggar menggunakan Mitsubishi Triton.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Bayu 7, Bandar Seri Alam, Masai di sini, 8 pagi, hari yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Semua pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal dan Nur Fatihah Mohd Nizam serta Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S Vikineswary.
Manakala Min Quan diwakili peguam Yap Che Kai dan Boon Lai tidak diwakili peguam.
Di semua mahkamah itu, Low dibenarkan ikat jamin sebanyak RM18,500, manakala Chai dengan jaminan RM17,000.
Kes-kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Oktober, 5 November dan 18 November depan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam untuk Boon Lain dan 7 Disember depan sementara menunggu laporan kimia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




