Bukan sahaja meriah dengan aksi perlumbaan, penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 turut membuka peluang kepada usahawan mikro tempatan untuk menjana pendapatan.
Jualan makan dan minuman lebih RM500,000 dalam tiga hari
Memetik laporan daripada Bernama, sebanyak 40 usahawan tempatan berjaya merekodkan jualan makanan dan minuman mencecah RM555,000 sepanjang tiga hari, sekali gus mengatasi sasaran awal RM500,000 menerusi Litar Rasa MADANI di G Hillstand, Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Foto: KUSKOP
Bukti acara seperti F1 beri ruangan perusahaan mikro
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata pencapaian tersebut membuktikan acara antarabangsa seperti F1 turut mampu memberi ruang kepada perusahaan mikro tempatan untuk mendapatkan pelanggan baharu.
Menurutnya, kadar sewa komersial di G Hillstand bagi tempoh tiga hari melebihi RM6,000, tidak termasuk SST serta komisen 15 peratus daripada jumlah jualan kasar.
“Namun, bagi 40 usahawan Litar Rasa MADANI, mereka tidak dikenakan sewa tapak atau komisen jualan. Mereka hanya perlu membayar RM180 bagi lesen perniagaan kepada Majlis Perbandaran Sepang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Foto: KUSKOP
Steven Sim berkata ,Litar Rasa MADANI bukan sahaja menawarkan pilihan makanan pada harga berpatutan kepada pemegang Tiket MADANI, malah memastikan manfaat ekonomi daripada acara antarabangsa turut dirasai usahawan kecil tempatan.
Beliau menegaskan acara seperti F1 tidak seharusnya hanya membuka peluang kepada syarikat besar, sebaliknya usahawan kecil tempatan juga perlu diberikan ruang untuk berada di pentas berkenaan.
“Hasilnya, ramai peniaga terpaksa menambah stok beberapa kali sepanjang acara. Pengunjung dapat menikmati F1 dengan makanan dan minuman pada harga yang berpatutan, manakala usahawan kita pula dapat berniaga dan mendapat pelanggan baharu,” katanya.
Sepanjang tiga hari, 40 gerai tersebut menawarkan lebih 100 pilihan makanan dan minuman tempatan termasuk nasi lemak ayam rendang, nasi kerabu, laksa, patin tempoyak dan keropok lekor.
Litar Rasa MADANI turut menyediakan kemudahan isi semula air, ruang makan, tandas dan surau untuk pengunjung.
Sementara itu, Steven Sim berkata pihaknya akan terus memperluas akses pasaran kepada perusahaan mikro dan kecil dengan mengurangkan halangan kos serta membuka lebih banyak peluang untuk mereka menyertai acara dan pasaran berskala besar.




