
Dari kiri: rakan-pemandu Grab, Cheah Yew Loong, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan, Wan Mohd Sharifudin Wan Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif, Koopers, Wong Pei Min, Pengarah Eksekutif, Grab Malaysia, Rashid Shukor, Ketua Pengarah, MIROS, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak, Ketua Keselamatan Platform Serantau, Grab, Naomi Sundrasaykarum dan rakan-pemandu Grab, Zulkefle Hanapi di majlis pelancaran Kid-Friendly Rides (Beta).
PETALING JAYA – Grab Malaysia memperkenalkan Kid-Friendly Rides (Beta), ciri khusus perkhidmatan e-hailing untuk keluarga yang mempunyai anak berusia antara empat hingga 12 tahun.
Ciri baharu itu diperkenalkan selaras dengan garis panduan keselamatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sekali gus memberi pilihan lebih mudah kepada keluarga yang melakukan perjalanan bersama anak kecil.
Menerusi Kid-Friendly Rides (Beta), keluarga boleh memilih kenderaan ‘6-Seater’ yang dilengkapi satu kerusi keselamatan tambahan khusus untuk kanak-kanak.
Perkhidmatan itu dipandu rakan-pemandu yang telah dilatih untuk mengendalikan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.
Buat masa ini, perkhidmatan berkenaan turut merangkumi sejumlah kenderaan terhad yang dilengkapi kerusi keselamatan disediakan oleh Koopers.
Bagi Grab, pengenalan ciri berkenaan adalah sebahagian daripada komitmennya untuk menyediakan platform lebih selamat kepada jutaan rakyat Malaysia.
Pada masa sama, ciri itu diharap memberi ketenangan kepada keluarga ketika melakukan perjalanan bersama anak kecil kerana mereka tidak lagi perlu membawa kerusi keselamatan kanak-kanak yang besar dan sukar untuk diangkat.
Pengarah Eksekutif Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, setiap keluarga seharusnya dapat melakukan perjalanan bersama anak-anak dengan lebih tenang tanpa dibebani kesulitan membawa kerusi keselamatan yang berat dan besar.
“Dengan Kid-Friendly Rides (Beta), kami berharap dapat memudahkan keluarga untuk melakukan perjalanan dengan menyediakan kerusi keselamatan kanak-kanak secara khusus.
“Ini mencerminkan komitmen yang kami kongsi bersama Kementerian Pengangkutan, MIROS dan rakan kerjasama seperti Koopers untuk memastikan setiap perjalanan keluarga dilakukan dengan selamat, di mana keselamatan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan dan tidak dipandang ringan,” katanya.
Penggunaan CRS masih rendah

Walaupun Sistem Kekangan Kanak-Kanak (CRS) diwajibkan di Malaysia sejak 1 Januari 2020, kadar penggunaannya masih rendah.
Kajian pemerhatian oleh MIROS menekankan bahawa usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan CRS, selain menterjemahkan kesedaran itu kepada amalan yang konsisten, merupakan faktor utama dalam melindungi penumpang kanak-kanak.
Ketua Pengarah MIROS, Profesor Madya Ir. Ts. Dr Siti Zaharah Ishak berkata, usaha melindungi kanak-kanak di jalan raya merupakan tanggungjawab bersama.
“Usaha melindungi kanak-kanak di jalan raya merupakan tanggungjawab bersama. Kajian mendapati bahawa penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak mengurangkan risiko kecederaan sebanyak 45 peratus bagi kanak-kanak berumur empat hingga lapan tahun berbanding hanya menggunakan tali pinggang keledar.
“Panduan penggunaan CRS oleh MIROS menekankan pemilihan sistem kekangan yang sesuai mengikut saiz kanak-kanak dan memasangnya dengan betul.
“Kami mengalu-alukan inisiatif yang menawarkan kerusi keselamatan kanak-kanak dengan lebih meluas kepada keluarga yang menggunakan perkhidmatan e-hailing, dan menggalakkan penggunaan CRS dengan betul semasa setiap perjalanan,” katanya.
Tempahan melalui aplikasi Grab
Buat masa ini, ciri Kid-Friendly Rides (Beta) tersedia menerusi Tempahan Awal hanya untuk perjalanan ke dan dari lapangan terbang KLIA 1 dan KLIA 2.

Pelaksanaannya akan diperluaskan secara berperingkat ke kawasan Lembah Klang yang lebih luas sebelum diperkenalkan di Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Bagi menggunakan ciri berkenaan, keluarga perlu membuka aplikasi Grab dan memilih ‘Car’, diikuti ‘Advance Booking’ sebelum menetapkan waktu pengambilan yang dikehendaki.
Selepas memasukkan lokasi pengambilan atau destinasi ke atau dari lapangan terbang, pengguna boleh memilih ciri berkenaan di bawah pilihan ‘Standard 6-Seater’ atau ‘Grab EV Exec’.
Untuk perjalanan menggunakan ‘Standard 6-Seater’, setiap tempahan menyediakan satu kerusi keselamatan kanak-kanak dengan bayaran tambahan RM10, yang sesuai untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun.
Sementara itu, kerusi keselamatan kanak-kanak Koopers Boost Fix disediakan bagi perjalanan menggunakan ‘Grab EV Exec’ sebagai ciri nilai tambah secara percuma.
Sebahagian ekosistem keselamatan Grab
Pelancaran Kid-Friendly Rides (Beta) itu merupakan sebahagian daripada ekosistem keselamatan Grab yang lebih menyeluruh.
Ia turut merangkumi ciri seperti AudioProtect dan Women-Only Rides (Beta).
Menerusi pelbagai inisiatif berkenaan, Grab terus memperkukuh aspek keselamatan di seluruh platformnya dengan matlamat menjadikan keselamatan dari hujung ke hujung lebih mudah diakses oleh setiap pengguna.



