Putus cinta dipercayai punca penuntut asing serang dua beradik

Putus cinta dipercayai punca penuntut asing serang dua beradik

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tidak berpuas hati dengan tindakan rakan sekuliah yang memutuskan hubungan dipercayai menjadi punca seorang penuntut asing menceroboh kediaman keluarga wanita itu di Taman Sri Bintang, Kepong di sini, sebelum menyerang mangsa dan adiknya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati selepas wanita terbabit memutuskan hubungan mereka.

“Motif kejadian menjurus kepada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang memutuskan hubungan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anuar berkata, suspek kini sedang menerima rawatan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, beliau berkata, doktor masih menjalankan penilaian dan belum belum membuat sebarang kesimpulan sama ada lelaki terbabit mempunyai masalah kesihatan mental atau sebaliknya.

“Suspek masih di bawah pemantauan doktor dan belum ada sebarang keputusan buat masa ini,” katanya.

Anuar berkata, berdasarkan keterangan daripada mangsa, suspek dan wanita itu adalah rakan sekuliah.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 30 September hingga esok (7 Oktober).

Dalam kejadian 29 September lalu, dua beradik cedera selepas ditikam lelaki warga asing yang menceroboh masuk rumah dihuni di Taman Sri Bintang, Kepong, di sini.

Polis yang tiba di lokasi mendapati terdapat kesan terbakar di bahagian luar rumah selain menemukan dua mangsa yang cedera sedang bersembunyi di dalam tandas di tingkat bawah.

Seorang suspek warga asing didapati berada di dalam bilik di tingkat atas sambil memegang sebilah pisau.

Seorang daripada mangsa sudah dibenarkan keluar hospital pada 4 Oktober, manakala seorang lagi masih menerima rawatan di wad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top