hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kesan jerebu rentas sempadan dijangka beransur-ansur berkurangan apabila negara memasuki fasa peralihan monsun mulai Jumaat ini, susulan perubahan arah pergerakan angin selepas berakhirnya Monsun Barat Daya.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata fasa peralihan monsun dijangka berterusan sehingga akhir Oktober ini, sekali gus menandakan berakhirnya musim Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu.
Katanya, perubahan corak angin ketika fasa berkenaan dijangka membantu mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan dari negara jiran.
“Dengan berakhirnya musim Monsun Barat Daya, kesan jerebu rentas sempadan daripada negara jiran dijangka beransur-ansur berkurangan berikutan berlaku perubahan arah pergerakan angin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Hisham berkata, orang ramai perlu bersedia menghadapi perubahan cuaca lain sepanjang fasa peralihan monsun berikutan tiupan angin yang lazimnya lemah dan datang dari pelbagai arah.
Menurutnya, keadaan itu boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat dan kilat berserta angin kencang dalam tempoh masa singkat.
“Keadaan ini terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak.
“Fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, kepala air, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.
Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




