Bomba buat rondaan pesisir susulan gempa bumi di Sandakan

Bomba buat rondaan pesisir susulan gempa bumi di Sandakan

Sandakan: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menjalankan rondaan pemantauan di kawasan pesisir susulan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 yang berlaku di perairan daerah ini pada 9.11 malam ini.

Ketua BBP Sandakan Jimmy Lagung berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan atau laporan kerosakan susulan kejadian itu.

“Rondaan dilaksanakan sebagai langkah awal dengan pemantauan dilakukan di sekitar kawasan pesisir yang didiami komuniti Sandakan.

“Penduduk dinasihatkan supaya tidak panik kerana setakat ini keadaan terkawal. Sekiranya berlaku sebarang keadaan mencurigakan, segera hubungi pihak berkuasa untuk bantuan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa itu dikesan pada koordinat 4.9 darjah Utara dan 118.7 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.

Menurut kenyataan itu, pusat gempa terletak kira-kira 48 kilometer di timur Lahad Datu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top