puterialia@hmetro.com.my
MENCIPTA nama sejak 24 tahun lalu dalam industri seni, penyanyi, Misha Omar, mengakui semangatnya untuk terus bekerja keras dan bertahan dalam industri seni tidak pernah padam.
Misha, 45, berkata kerjaya seninya tidak akan pernah berhenti, melainkan ketika dia mengambil cuti panjang selepas melahirkan anak lelakinya, Muhammad Idris Ezzwa pada 2016.
Bagaimanapun, Misha berpandangan bahawa kehadirannya dalam industri seni disedari masyarakat apabila terdapat karya baharu yang dilancarkan.
“Saya ibaratnya memang tidak boleh berhenti kerjalah. Saya boleh katakan cuti yang paling lama adalah selepas melahirkan Idris, ketika itu saya ambil masa agak lama untuk diri sendiri. Selain itu, saya memang sentiasa bekerja.
“Cuma kewujudan atau kerja itu hanya disedari masyarakat apabila ada lagu baharu dan sebagainya. Hakikatnya, di belakang tabir saya masih terus membina bakat dengan membuat persembahan di pelbagai acara,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai erti bekerja keras, pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu menyifatkan ia sebagai dorongan semangat untuk terus relevan dan memberikan yang terbaik kepada peminat.
“Alhamdulillah, istilah ‘work hard’ itu bagi saya adalah semangat. Hakikatnya bila semakin berusia, kalau boleh kita nak ‘goyang kaki’ dan tidak perlu bekerja, bukan?
“Tetapi saya sentiasa rasa yakin dan positif dengan diri sendiri, tidak kira di mana saya berada, saya rasa masih boleh untuk melakukan persembahan.
“Apabila melihat sambutan orang ramai yang hadir ke pameran atau konsert sepanjang 24 tahun ini, saya rasa masih mampu untuk membuat persembahan dari segi tenaga, Alhamdulillah,” katanya lagi.
Mengulas mengenai perjalanan kerjaya seninya, Misha menegaskan dia perlu terus berusaha gigih dan bertahan dengan apa jua peluang yang ada.
Bagaimanapun, Misha bersikap terbuka dan akur bahawa setiap perjalanan seni pasti ada titik penghujungnya kelak.
“Saya perlu terus ‘thrive’ dan ‘survive’ dalam apa jua cara serta peluang dan saya masih mahu meneruskannya.
“Cuma sudah tentu, sentiasa ada ‘password’ untuk masuk dan ada juga ‘password’ untuk keluar. Saya tidak menolak perkara itu. Buat masa ini saya cuma mahu terus melangkah ke hadapan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Misha turut berkongsi pegangan hidupnya dalam mendepani pasang surut kehidupan yang mengajar dirinya untuk sentiasa bersikap positif dan tidak berputus asa.
“Kalau rasa sedih, banyak lagi benda yang menyedihkan. Tetapi, sedih dan gembira itu tidak akan lama, ia cuma satu perasaan dan kesukaran ini tidak akan kekal selamanya.
“Kadang-kadang bila kita berusaha banyak sampai rasa letih, biarkan dahulu dan Allah tetap akan bantu. Allah itu baik dengan kita, Dia akan hantar pelbagai bentuk bantuan,” katanya.
Tidak Pernah Berhenti Belajar
Meskipun sudah kukuh sebagai antara penyanyi terkemuka tanah air, Misha mengakui sentiasa dahaga ilmu dan lebih selesa bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kebolehan vokal serta teknik lebih mantap daripadanya.
Misha berkata, pendekatan itu penting baginya demi memastikan dinamik persembahan serta susunan lagu yang bakal dibawa sentiasa berada pada tahap terbaik dan tersusun.
“Saya suka bekerja dengan orang yang lebih bagus dari sudut vokal, teknik dan sebagainya sebab dinamik untuk persembahan itu dalam susunan lagu pasti akan lebih tersusun.
“Ada orang cakap, ‘kenapa belajar lagi sebab awak memang penyanyi, kan?’ Tetapi apabila membabitkan persembahan berskala besar atau menyanyi lebih daripada setengah jam, aspek dinamik itu sangat penting,” katanya.
Misha turut meletakkan kepercayaan penuh kepada guru vokal dan pembimbing untuk memantau serta merancang julat vokalnya sepanjang tempoh latihan sehingga ke hari persembahan.
Bagaimanapun, Misha yang enggan cepat berpuas hati dengan pencapaiannya, malah meletakkan prinsip untuk terus menimba ilmu dan enggan berhenti belajar.
Menurutnya, dia juga gemar mendedahkan diri dengan kemunculan bakat baharu kerana mereka menjadi sumber inspirasi untuknya kekal relevan dan berkembang.
“Tidak boleh (berhenti belajar). Saya suka tengok orang-orang baharu sebab kita akan dapat inspirasi.
“Bagi saya, saat kita rasa diri sudah cukup bagus, maka habislah kita. Kita perlu sentiasa berkembang. Setiap hari adalah hari baharu dan peluang untuk kita menambah baik dalam semua perkara.
“Orang baharu, orang lama atau orang yang di tengah-tengah pastinya mempunyai perspektif berbeza-beza. Jadi, tidak mengapa untuk kita terus belajar dan terus berkembang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




