PEKEMA salur RM400,000 Gerobok Rezeki bantu mahasiswa

PEKEMA salur RM400,000 Gerobok Rezeki bantu mahasiswa

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menerusi Yayasan PEKEMA memperuntukkan RM400,000 menerusi inisiatif Gerobok Rezeki bagi membantu mahasiswa memerlukan di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sepanjang tahun ini.

Terbaharu, yayasan itu menyalurkan RM180,000 kepada sembilan IPTA, masing-masing menerima RM20,000, menerusi Fasa 2 inisiatif berkenaan.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata sumbangan itu bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya tanda keprihatinan dan sokongan kepada mahasiswa yang sedang berusaha membina masa depan.

“Bagi kami, sumbangan ini bukan sekadar nilai kewangan, tetapi merupakan tanda keprihatinan dan sokongan kepada mahasiswa yang sedang berusaha membina masa depan.

“Kita mahu memastikan kekangan keperluan asas tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk terus belajar dan mengejar cita-cita,” katanya menerusi kenyataan media sempena Majlis Sumbangan Gerobok Rezeki Yayasan PEKEMA kepada sembilan IPTA di Wisma Yayasan PEKEMA, di Cyberjaya, dekat sini, hari ini.

Sembilan IPTA yang menerima sumbangan itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Turut menerima sumbangan ialah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Mohamed Nazari berkata, sumbangan Fasa 2 itu melengkapkan keseluruhan bantuan Gerobok Rezeki Yayasan PEKEMA kepada 20 IPTA pada tahun ini berjumlah RM400,000.

Katanya, pada Mac lalu, Yayasan PEKEMA melaksanakan Fasa 1 dengan menyalurkan RM220,000 kepada 11 IPTA.

“Program ini diwujudkan atas kepercayaan bahawa setiap pelajar berhak mendapat sokongan yang sewajarnya dalam perjalanan menuntut ilmu.

“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang amat bernilai kerana anak-anak muda yang berada di kampus hari ini adalah bakal pemimpin, profesional dan pencorak masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata, Gerobok Rezeki diwujudkan bagi membantu mahasiswa yang memerlukan supaya kekangan berkaitan keperluan asas tidak menjadi penghalang untuk mereka meneruskan pengajian.

Menurutnya, penyediaan bantuan makanan secara konsisten juga diharap membolehkan pelajar memberi tumpuan lebih baik kepada pembelajaran dan pembangunan diri.

Mohamed Nazari turut merakamkan penghargaan kepada semua IPTA terbabit atas kerjasama diberikan serta Yayasan PEKEMA yang terus komited melaksanakan inisiatif berkaitan kebajikan dan pendidikan.

“Yayasan PEKEMA akan terus berkongsi rezeki dan memberi manfaat kepada masyarakat menerusi pelbagai inisiatif yang memberi impak kepada golongan memerlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top