am@hmetro.com.my
SORAKAN gempita 14,000 penonton bergema di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor Bahru, baru-baru ini apabila Wali Band muncul menjayakan konsert Wali Live In JB yang berlangsung meriah dan penuh emosi.
Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dengan kerjasama Infinity Love Creative Ventures itu membuktikan dominasi jenama Wali Band yang masih utuh bertapak dalam industri muzik nusantara selepas lebih 25 tahun berkarya.
Penganjuran yang mendapat sokongan Tourism Johor selaku penaja bersama beberapa rakan strategik lain itu mencatatkan kejayaan luar biasa apabila tiket habis dijual sepenuhnya.
Vokalis Wali Band, Faank atau nama sebenarnya, Farhan Zainal Muttaqin berjaya membuai emosi peminat apabila sesekali menyulam doa serta mesej dakwah dan kemanusiaan, selain menyampaikan lagu-lagu ketuhanan dengan penuh penghayatan.
Kumpulan popular Indonesia yang turut dianggotai Apoy (gitaris), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) tidak mengambil masa lama apabila berjaya memukau peminat sebaik tirai persembahan dibuka sekitar jam 9 malam.
Segmen pertama konsert dibuka dengan penuh bertenaga menerusi rangkaian lagu popular mereka iaitu Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Kekasih Halal serta lagu berentak rancak, Nenekku Pahlawanku.
Suasana pentas kemudian bertukar gamat apabila Apoy menunjukkan taring beraksi ‘menggoreng’ gitar secara solo sebelum Wali Band menyambung persembahan dengan lagu Emang Dasar, Abatasa dan Ada Gajah di Balik Batu.
Konsert kemudian diteruskan dengan segmen akustik yang menjadi antara detik paling menyentuh hati sepanjang malam penganjuran berkenaan.
Penjiwaan Faank jelas teruji apabila beliau hanyut dalam emosi dan beberapa kali dilihat menyeka air mata tatkala menyampaikan bait-bait lirik berunsur ketuhanan dan kasih sayang.
Tiga lagu disampaikan secara akustik iaitu Doaku Untukmu Sayang, Baik Baik Sayang dan Harga Diriku berjaya menyentuh perasaan sebahagian besar peminat yang hadir.
Mewujudkan suasana yang lebih berkat, Faank turut memimpin bacaan doa bersama penonton sebelum menyampaikan lagu ketuhanan popular mereka, Tobat Maksiat.
Lagu Yank yang juga antara lagu popular Wali Band terus menggamatkan suasana konsert apabila menampilkan semula penyanyi terkenal tanah air, Najwa Latif menerusi nyanyian duet istimewa.
Terdahulu, Najwa atau mesra dipanggil Wawa hadir selaku penyanyi jemputan mendendangkan tujuh lagu hitsnya sebelum Wali Band muncul di pentas utama.
Najwa berjaya memanaskan pentas dengan lagu-lagu nostalgia yang menggamit memori seperti AdaMu, Carta Hati, Satu Hari Nanti, Kosong, Sahabat, Untuk Dia dan semestinya lagu yang menaikkan namanya iaitu Cinta Muka Buku.
Selepas dua jam persembahan yang mantap, tirai konsert gilang-gemilang itu dilabuhkan dengan lagu fenomena, Cari Jodoh.
Rata-rata peminat Wali Band meninggalkan tapak konsert dengan pulang bersama 1,001 kenangan manis serta kepuasan maksimum.
Sementara itu, Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata, penganjuran konsert Wali Band adalah sebahagian daripada strategi untuk menarik lebih banyak penganjuran acara berskala besar ke Johor.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan Johor tidak ketinggalan dalam menjadi tuan rumah acara hiburan utama yang sebelum ini kerap dipusatkan di kawasan Lembah Klang.
“Alhamdulillah, kehadiran 14,000 penonton menyaksikan persembahan Wali Band bersama Najwa Latif membuktikan Johor mempunyai potensi dan pasaran yang sangat besar.
“Sejujurnya, kita tidak menyangka sambutan diterima begitu menggalakkan. Sebaik sahaja tiket dibuka, 50 peratus atau kira-kira 5,000 tiket habis terjual dalam tempoh lima hari pertama sebelum ia ‘sold out’,” katanya.
Katanya, penganjuran program hiburan berkualiti turut dimasukkan ke dalam kalendar acara negeri sebagai persediaan menyemarakkan lagi industri pelancongan Johor.
“Ini baru permulaan, oleh itu, rakyat Johor boleh menantikan lebih banyak acara menarik dan berimpak tinggi yang bakal dibawakan khas ke negeri ini,”
katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




