Kematian pelajar tingkatan dua: Kertas siasatan dirujuk AGC hari ini

Kematian pelajar tingkatan dua: Kertas siasatan dirujuk AGC hari ini

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Polis akan merujuk kertas siasatan kes kematian pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah di daerah ini kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, setakat ini belum ada ketetapan untuk mendakwa mana-mana suspek di mahkamah dan pihaknya masih menunggu arahan lanjut selepas kertas siasatan dirujuk kepada AGC.

“Kes membabitkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di sebuah sekolah di Kuala Pilah bulan lalu, setakat ini belum ada keputusan tarikh untuk menuduh suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Idlan Fareeq Shahril dilaporkan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah pada jam 8 malam, 25 September lalu.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga senior kepada mangsa ditahan bagi membantu siasatan, dengan polis mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, suspek pertama disambung reman sehingga esok, manakala suspek kedua disambung reman sehingga Jumaat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top