Tracie dakwa disindir kerana dialek Sabah

Tracie dakwa disindir kerana dialek Sabah

puterialia@hmetro.com.my

Shah Alam: Pelakon, Tracie Sinidol mengakui pernah menerima sindiran mengenai cara percakapannya yang bertutur menggunakan dialek Sabah.

Bagaimanapun, Tracie, 25, memilih untuk tidak melatah dan mengambil setiap teguran dengan hati terbuka demi memperbaiki diri.

“Saya pernah jugalah (terkena sindiran), tetapi kita ambil baik, buang yang keruh. Kalau betul teguran dia itu membantu kita untuk improve (perbaiki diri), kita ambil.

“Kalau rasa macam melebih-lebih, just let it go (lepaskan sahaja). For me, it’s just as simple as that (bagi saya, ia semudah itu). Kadang-kadang ia bergantung pada cara kita bertindak balas,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mengulas lanjut mengenai isu sensitiviti dialek yang sering dibangkitkan segelintir pihak, Tracie menegaskan dia kini lebih mengutamakan ketenangan jiwa berbanding memanjangkan perkara negatif.

“Sekarang ini, hidup saya hanya mahukan ketenangan. Jadi, kadang-kadang bila fikir balik, bagaimana kita memberi reaksi terhadap sesuatu perkara itu membawa pengaruh yang sangat besar juga.

“Kalau kita memberi reaksi berlebih-lebih, ia akan lebih merosakkan diri sendiri. Tetapi kita biarkan sahaja dan ambil mana yang patut (melalui) teguran mereka. Tidak bagus juga kalau kita ambil yang positif sahaja.

“Kadang-kadang kita mahu lihat yang negatif juga supaya kita sedar di mana kekurangan kita. Jadi, dari apa yang orang cakap itulah kita memperbaiki kekurangan diri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tracie turut meluahkan rasa terharu apabila ada segelintir peminat yang memuji kebolehannya menyesuaikan sebutan sehingga dialek Sabah tidak lagi kelihatan ketara dalam lakonannya.

Mengulas mengenai proses penyesuaian itu, teraju drama Hilang Dalam Rindu ini mengakui ia memerlukan masa yang agak lama dan bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata.

“Itu satu komen yang baik. Maksud saya, saya sedang memperbaiki diri. Tetapi, sudah tentu ia mengambil masa juga untuk sampai ke tahap itu.

“Sebab masa mula-mula berlakon dulu, dialek itu memang terkeluar. Tetapi pengarah dan kru banyak membantu. Sebab kadang-kadang ada perkataan tertentu yang apabila kita asyik memikirkan cara sebutannya, ia akan terkeluar juga terutama bila kita marah.

“Jadi saya rasa pengarah, kru dan rakan gandingan memainkan peranan yang sangat penting. Saya mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun juga baru boleh betul-betul mahir,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai tanggapan bahawa pelakon yang berasal dari Sabah sukar mendapat tawaran berlakon sekiranya dialek Sabah mereka terlalu pekat, Tracie tidak menolak dakwaan berkenaan.

“Saya tidak nafikan jugalah, sebab ia juga bersesuaian dengan tempat. Kalau karakter kita itu memang dilahirkan di situ, sudah tentu kita kena berbahasa mengikut tempat tersebut. Kecuali kalau watak itu memang ditetapkan sebagai orang Sabah, barulah okay.

“Tetapi bagi saya, sejauh mana kemahuan kita, ia mesti sama dengan usaha kita. Paling penting, jangan malu. Untuk berbahasa, sama macam kita mula belajar bahasa Inggeris. Kalau kita malu, kita susah mahu maju.

“Biarlah orang mahu judge (hukum) kita apa pun, yang penting kita berani mencuba. Bila kita sudah selesa dengan bahasa itu, saya rasa ia akan jadi lebih baik,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top