Rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine daripada sebuah jet peribadi di Laos disahkan bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya bekalan berkenaan dipercayai untuk diseludup ke Manila, Filipina.
Pesawat berlepas dari Subang tanpa bawa muatan
Menerusi satu kenyataan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, menyatakan pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang tanpa membawa sebarang muatan sebelum 23 beg mengandungi dadah dimuatkan ke dalam pesawat selepas tiba di Laos.
“Dadah yang dirampas itu untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya Malaysia.
“Pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang tanpa sebarang kargo. Dadah berkenaan hanya dimuatkan ke dalam pesawat setibanya di Laos dan dipercayai untuk dihantar ke Manila,” katanya.
Pemeriksaan beg bongkar penemuan
Menurut Hussein, PDRM dimaklumkan pihak berkuasa Laos mengenai kejayaan menumpaskan cubaan penyeludupan dadah rentas sempadan berskala besar di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada 1 Oktober lalu.
Pesawat terbabit membawa tiga individu iaitu juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina sebelum tiba di lapangan terbang berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi.
“Kira-kira jam 1.30 tengah hari, dua kenderaan tiba di lapangan terbang dan beberapa kakitangan lapangan terbang membantu memindahkan 23 beg dari kenderaan berkenaan ke atas troli untuk dibawa ke pesawat.
“Pemeriksaan terhadap beg terbabit membongkar penemuan 500 bungkusan mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 521kg,” katanya.

Susulan itu, seramai 13 individu termasuk seorang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan.
“Selain juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan penumpang warga Filipina itu, tiga pekerja syarikat pengendalian darat serta tujuh kakitangan lapangan terbang Laos yang bertanggungjawab mengendalikan mesin pengimbas X-ray turut ditahan.
“Semua 13 individu terbabit ditahan oleh pihak berkuasa Laos untuk siasatan lanjut,” katanya.
Hussein mendedahkan PDRM turut membuka kertas siasatan dan akan menghantar beberapa pegawai JSJN ke Laos bagi menjalankan sesi temu bual serta mendapatkan maklumat lanjut, khususnya berhubung sebarang kaitan dengan rangkaian sindiket di Malaysia.
Terdahulu, laporan media Laos memaklumkan rampasan berkenaan membabitkan sebuah jet peribadi yang tiba dari Malaysia.
Operasi itu dijalankan selepas polis menerima maklumat mengenai sindiket yang dipercayai merancang menyeludup dadah merentasi sempadan melalui udara.
Sumber: Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM




