MELAKA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-16 manakala 31 Oktober sebagai hari penamaan calon.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam satu sidang media di sebuah hotel di sini mengumumkan hari mengundi awal bagi PRN Melaka akan diadakan pada 10 November.
Tambah beliau, tempoh berkempen bagi PRN Melaka berlangsung selama 14 hari bermula 31 Oktober sehingga 13 November.
Beliau turut memaklumkan permohonan undi pos bagi PRN Melaka ke-16 dibuka pada 23 September 2026.
“Tarikh tutup permohonan undi pos adalah pada 28 Oktober bagi kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media.
“Bagi kategori 1B (warganegara Malaysia di luar negara) dan kategori 1C (agensi atau organisasi), tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 23 Oktober,” katanya.
PRN Melaka diadakan selepas pembubaran di 23 September lalu diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Seri Negeri.
DUN Melaka babit 28 kerusi yang PRN lalu menyaksikan 21 kerusi milik BN, PH menang lima kerusi dan PN dengan dua kerusi.
PRN Melaka merupakan PRN ketiga diadakan tahun ini selepas PRN Johor pada 11 Julai disusuli Negeri Sembilan 1 Ogos.
Setakat Julai 2026 jumlah pemilih berdaftar di Melaka mencecah 687,697 orang berbanding 495,195 pemilih pada PRN 2021.



