Jakarta: Pengarah sebuah penjara di Indonesia dipecat susulan siasatan berhubung kemudahan dan penginapan mewah yang digunakan banduan.
Wisnu Hani Putranto, yang mengetuai Penjara Cibinong di Bogor, Jawa Barat, turut dilucutkan jawatan sebagai penjawat awam, lapor media tempatan Kompas pada Isnin, memetik Inspektor Jeneral Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Rudi Setiawan.
Wisnu adalah antara 17 penjawat awam kementerian berkenaan yang dikenakan tindakan disiplin, kata Rudi kepada wartawan di pejabat kementerian di sini.
“Daripada jumlah itu, seorang kakitangan dipecat, lima lagi disyorkan dikenakan tindakan disiplin berat manakala 11 yang lain disyorkan dikenakan tindakan disiplin sederhana,” katanya.
Siasatan dalaman kementerian membongkar penyalahgunaan kuasa, ketidakaturan dalam pengurusan aset negara serta pelanggaran prosedur operasi standard di penjara berkenaan, menurut laporan Jakarta Globe.
Wisnu dan empat lagi pegawai digantung tugas sejak minggu lalu sementara menunggu siasatan manakala puluhan banduan serta pegawai penjara lain turut disoal siasat.
Siasatan itu dilancarkan selepas pemeriksaan mengejut oleh Ombudsman Indonesia pada 23 September lalu membongkar beberapa unit kediaman ‘mewah’ yang terpisah daripada sel biasa penjara.
Unit berkenaan dilengkapi pendingin hawa, televisyen skrin besar, peti ais dan sofa, menurut laporan media tempatan.
Pasukan penyiasat turut menemukan gimnasium dan simulator golf yang sedang dibina di premis berkenaan.
Seorang banduan didakwa membayar 160,000 rupiah (kira-kira RM36) seminggu untuk mendapatkan akses kepada kemudahan berkenaan, menurut laporan Jakarta Post.
Ahli Ombudsman, Syafrida Rachmawati Rasahan kemudian menggesa Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan menjalankan siasatan terperinci berhubung kemungkinan berlaku ketidakaturan dan pelanggaran undang-undang.
Media tempatan melaporkan banduan kaya menggunakan bangunan berkenaan sebagai kediaman peribadi atau ruang untuk menerima kunjungan ahli keluarga dan pelawat lain.
Sebanyak 10 bangunan berkenaan dirobohkan selepas pihak berkuasa mendapati ia tidak mempunyai permit yang diperlukan dan tidak didaftarkan, lapor Jakarta Globe.
Di tengah-tengah kontroversi itu, Ketua Pengarah Pemasyarakatan, Mashudi turut mengumumkan peletakan jawatannya, lapor Kompas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




