Ketua Pengarah AKPS didakwa kasari dua anggota PDRM ketika bertugas di KLIA -Peguam

Ketua Pengarah AKPS didakwa kasari dua anggota PDRM ketika bertugas di KLIA -Peguam

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Suhaily Mohd Zain didakwa mengasari secara fizikal dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mereka sedang menjalankan tugasan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Kedua-dua anggota PDRM daripada Cawangan Khas

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, dakwaan itu dibuat peguam, Kamal Hisham Jaafar yang mewakili Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad, yang kedua-duanya anggota PDRM daripada Cawangan Khas.

Menurut firma guaman berkenaan, kejadian berlaku di tempat awam sehingga menyebabkan kedua-dua anggota terbabit mengalami kecederaan selain menjejaskan maruah mereka sebagai penjawat awam yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Firma itu turut menegaskan bahawa AKPS bukan sebahagian daripada PDRM dan kedua-dua agensi mempunyai fungsi serta bidang kuasa berbeza.

“Sebarang tindakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas perlu dipandang serius tanpa mengira pangkat atau kedudukan mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

Nafi terlibat dalam sebarang counter setting

Dalam pada itu, firma guaman tersebut menafikan dakwaan kedua-dua anak guamnya bertindak sebagai ‘ulat’ atau terlibat dalam sebarang counter setting ketika berada di KLIA.

Menurut mereka, sebarang dakwaan sedemikian perlu disokong bukti dan tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada isu utama yang sedang disiasat, iaitu dakwaan berlaku kekerasan terhadap dua anggota PDRM berkenaan.

Firma itu turut mendakwa terdapat kenyataan melalui media sosial dan saluran rasmi selepas kejadian yang menurut anak guam mereka memberikan gambaran berbeza daripada keadaan sebenar.

Sehubungan itu, mereka berpandangan sebarang kenyataan awam berkaitan perkara yang masih dalam siasatan perlu dibuat secara bertanggungjawab dan tidak menjejaskan proses siasatan pihak berkuasa.

Dari sudut undang-undang, firma berkenaan berkata berdasarkan fakta dan keterangan yang sedang dikemukakan kepada pihak berkuasa, kejadian itu berpotensi melibatkan peruntukan termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Walau bagaimanapun, firma itu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh serta menentukan sebarang kesalahan berdasarkan bukti dan fakta yang diperoleh.

Kamal Hisham turut menggesa siasatan dijalankan dengan segera serta semua pihak mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan atau mempengaruhi proses siasatan.

Firma itu juga mahu hak, keselamatan dan maruah kedua-dua anggota PDRM berkenaan sebagai penjawat awam yang didakwa sedang menjalankan tugas rasmi terus dilindungi.

“Kedua-dua anak guam kami menegaskan bahawa mereka sedang menjalankan tugas rasmi pada ketika kejadian dan berhak mendapat perlindungan serta keadilan di sisi undang-undang.
“Tiada sesiapa pun tanpa mengira pangkat atau kedudukan harus diletakkan di atas undang-undang atau dibenarkan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” ujarnya.

Sumber: Malaysia Gazeete ( Mohd Zaini Samsu Hadi)

Scroll to Top