“Tiada lebam. Tiada darah. Tetapi setiap kali telefon berbunyi, dia mula rasa takut.”
Bagi sesetengah wanita, rasa takut terhadap pasangan mungkin sukar untuk dijelaskan. Bukan kerana pernah dipukul atau dicederakan secara fizikal, tetapi kerana mereka sudah terlalu biasa hidup dalam keadaan berjaga-jaga.

Setiap kali telefon berbunyi, hati mula berdebar.
Lambat balas mesej, takut pasangan marah. Tersalah cakap, takut dimaki. Keluar tanpa izin, takut berlaku pergaduhan pula.
Lama-kelamaan, semua itu mungkin dianggap sebagai perkara biasa dalam rumah tangga. Sedangkan rasa takut yang berterusan juga boleh menjadi tanda berlakunya keganasan emosi dan psikologi.
Tak perlu pukul untuk membuat seseorang berasa takut
Bila sebut tentang keganasan rumah tangga, ramai mungkin terus terbayangkan tamparan, tendangan atau pukulan.
Tapi penderaan tak semestinya meninggalkan lebam.
Ugutan, penghinaan, kawalan berlebihan dan tindakan yang membuat pasangan berasa takut atau tidak berdaya juga boleh memberi kesan kepada emosi dan kehidupan harian.

Contohnya, pasangan mungkin mengawal siapa yang boleh ditemui, ke mana boleh pergi atau dengan siapa boleh berkawan.
Telefon diperiksa, lokasi ditanya berkali-kali dan setiap pergerakan perlu dijelaskan. Sampai satu tahap, perkara biasa pun terasa macam perlu minta “kebenaran”.
“Dia marah sebab dia sayang saya…”
Yang membuatkan keganasan emosi lebih sukar dikenal pasti ialah apabila tingkah laku tersebut disamarkan sebagai tanda kasih sayang.
“Dia cemburu sebab dia sayang.”
“Dia marah sebab dia risau.”
“Dia kawal sebab dia nak lindungi.”
Tapi kalau seseorang mula takut untuk bersuara, takut pasangan marah atau terpaksa mengubah tingkah laku semata-mata untuk mengelakkan pergaduhan, keadaan itu wajar diberi perhatian.
Dalam hubungan yang sihat, seseorang sepatutnya boleh bercakap, berkawan dan menjalani kehidupan harian tanpa rasa takut terhadap ugutan, penghinaan atau kawalan pasangan.

Bila rasa takut dah jadi rutin
Keganasan emosi dan psikologi juga boleh berlaku secara perlahan-lahan.
Mangsa mungkin mula meragui diri sendiri, hilang keyakinan, menjauhkan diri daripada keluarga atau rakan-rakan dan sentiasa memikirkan apa yang perlu dilakukan supaya pasangan tidak marah.
Sampai akhirnya terlintas dalam fikiran:
“Ke aku yang terlalu sensitif?”
Sedangkan rasa takut itu sendiri mungkin sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Sebab itu, keganasan rumah tangga tidak sepatutnya diukur berdasarkan ada atau tiadanya kecederaan fizikal semata-mata.
Tiada lebam bukan bermakna tiada penderaan.
KPWKM sediakan tempat untuk mula mendapatkan bantuan
Kalau anda sedang berdepan situasi seperti ini tetapi tak tahu nak mula dari mana, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan beberapa saluran bantuan dan sokongan. Jangan risau.

Antaranya ialah Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu.
Menerusi talian ini, anda boleh membuat aduan, mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling serta mendapatkan bantuan berkaitan keganasan rumah tangga.
Tak selesa nak telefon? Talian Kasih juga boleh dihubungi melalui WhatsApp 019-261 5999 atau aplikasi mudah alih Talian Kasih.
Dan kalau anda masih belum bersedia untuk membuat keputusan besar, itu tak bermakna anda perlu pendam semuanya seorang diri.
Mendapatkan maklumat, bertanya tentang pilihan yang ada atau sekadar berkongsi apa yang berlaku juga boleh menjadi langkah pertama.
Bukan sekadar dengar cerita, bantuan juga ada
Melalui agensi di bawah KPWKM termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa keganasan rumah tangga juga boleh mendapatkan bantuan berkaitan perlindungan.
Antara bantuan yang disediakan termasuk membantu mangsa mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), membantu mendapatkan perintah perlindungan melalui mahkamah serta menguruskan penempatan sementara di tempat selamat bagi mangsa yang memerlukannya.
Bentuk perlindungan yang sesuai bergantung kepada keadaan dan jenis keganasan yang dihadapi.
Mangsa juga boleh mendapatkan sokongan emosi dan kaunseling melalui saluran yang disediakan.
Kempen Hentikan Keganasan Rumah Tangga: Berani Bertindak #JanganDiam
Melalui Kempen Hentikan Keganasan Rumah Tangga: Berani Bertindak #JanganDiam, orang ramai digalakkan untuk mengenali tanda-tanda keganasan rumah tangga dan mendapatkan bantuan apabila berdepan situasi yang mengancam keselamatan atau kesejahteraan diri.

Tak semestinya perlu tunggu keadaan menjadi lebih buruk untuk mula mencari bantuan.
Kadang-kadang, langkah pertama cuma dengan bertanya:
“Apa pilihan yang saya ada?”
Dan itu pun sudah cukup untuk bermula.
Jangan tunggu sampai ada lebam
Keganasan rumah tangga bukan hanya tentang tangan yang memukul.
Ia juga boleh hadir dalam bentuk ugutan, penghinaan, kawalan dan tingkah laku yang membuat seseorang hidup dalam ketakutan.
Kalau anda atau seseorang yang anda kenali sedang melalui situasi seperti ini, anda tidak perlu menghadapinya seorang diri.
Keganasan tidak semestinya meninggalkan kesan yang boleh dilihat. Tetapi setiap orang berhak untuk hidup dengan selamat, dihormati dan bebas daripada ketakutan.




