BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian selepas menahan lima lelaki dan empat wanita di sebuah rumah serta merampas wang pertaruhan RM19,641 dalam serbuan di Kampung Paya Tanah Liat, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata dalam serbuan 3.jam 45 petang itu, polis menahan sembilan individu berumur 42 hingga 56 tahun di rumah sewa itu susulan maklumat dan risikan yang dijalankan pihaknya.
Beliau berkata, sindiket itu menyewa rumah berkenaan sejak tiga bulan lalu dan lelaki berumur 48 tahun yang ditahan itu adalah dalang utama dengan menyediakan semua barang perjudian untuk menjalankan judi jenis ‘Si Goh Lak’ secara dalam talian.
“Lapan lagi individu bekerja sebagai operator perjudian.
“Dalam serbuan ini, kami merampas pelbagai peralatan untuk mereka menjalankan judi dalam talian, antaranya cip pelbagai warna, dadu, kerusi, meja, telefon bimbit, modem, kertas catatan perjudian dan wang tunai sebanyak RM19,641 dipercayai duit pertaruhan judi,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Shafee berkata, siasatan awal polis mendapati sindiket itu menggunakan aplikasi Live Wechat Group sebagai platform penerimaan pertaruhan perjudian dan dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap hari.
Katanya, semua mereka direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, malah masing-masing turut dikompaun RM1,500 menurut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




