Fenomena El Nino yang sedang melanda negara berpotensi meningkat ke tahap ‘Super’ atau sangat kuat bermula bulan ini hingga Januari 2027, sekali gus meningkatkan risiko cuaca lebih panas dan kering serta kejadian pembakaran terbuka.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keadaan El Nino itu dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun depan berdasarkan analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Arthur berkata, Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan fenomena El Nino menyebabkan taburan hujan lebih rendah selain cuaca lebih panas dan kering.
“Situasi ini menyumbang kepada risiko kejadian pembakaran terbuka khususnya di kawasan tanah gambut, hutan, belukar dan tapak pelupusan sampah yang boleh menyebabkan pencemaran jerebu.
“Keadaan El Nino ini dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun 2027 dan berpotensi mencapai tahap ‘Super’ (sangat kuat) bermula Oktober hingga Januari 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen mengenai kesiapsiagaan negara menghadapi El Nino serta usaha menangani jerebu rentas sempadan.
Istilah ‘Super El Nino’ secara umum digunakan bagi menggambarkan kejadian El Nino sangat kuat apabila suhu permukaan laut di kawasan tertentu di Pasifik tropika meningkat sekitar 2 darjah Celsius atau lebih tinggi berbanding purata.
Bagaimanapun, ‘Super El Nino’ bukan kategori rasmi meteorologi dengan satu takrif universal, sebaliknya istilah yang digunakan secara tidak rasmi bagi menggambarkan kejadian El Nino pada tahap sangat kuat.
Sementara itu Arthur berkata, kerajaan sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) sejak 15 Februari lalu, disusuli Prosedur Tetap Operasi (PTO) bagi mencegah kebakaran tanah gambut pada 26 Februari.
Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menjalankan rondaan darat serta pemantauan menggunakan dron di kawasan berisiko termasuk tanah gambut, kawasan pertanian, hutan, ladang, belukar dan tapak pelupusan sampah.
Dalam pada itu, beliau berkata, MET Malaysia terus memantau keadaan cuaca, risiko kebakaran serta pergerakan asap jerebu bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya keadaan bertambah buruk.
Tambahnya, lapan siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan dari 30 Ogos hingga 3 Oktober lalu di beberapa kawasan Semenanjung serta Sarawak bagi mengurangkan impak El Nino terhadap penyusutan paras air empangan dan risiko jerebu.
“Operasi tersebut telah menghasilkan hujan di beberapa kawasan sasaran. Pelaksanaan OPA ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan penilaian keperluan dan keadaan cuaca serta kesesuaian atmosfera,” katanya.
Mengenai cadangan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan, Arthur berkata, kerajaan sudah beberapa kali meneliti kewajaran menggubal undang-undang itu termasuk dari aspek penguatkuasaan, beban pembuktian dan implikasi diplomatik.
“Keberkesanan sesuatu undang-undang tidak hanya bergantung pada wujudnya peruntukan, tetapi juga pada keupayaan untuk mendapatkan bukti, menjalankan siasatan dan menguatkuasakan akta terhadap pihak yang berada di luar bidang kuasa Malaysia,” jelasnya




