Kes tender PDRM: Saksi nafi dakwaan pejabat tertuduh tak wujud

Kes tender PDRM: Saksi nafi dakwaan pejabat tertuduh tak wujud

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang saksi kes rasuah bekas setiausaha politik di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menyangkal cadangan peguam bahawa unit pejabat di Publika yang dikaitkan sebagai lokasi pembayaran RM350,000 kepada tertuduh itu, tidak wujud.

Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB), Wan Azhar Mohamed Yusof, 51, menjawab sedemikian ketika disoal balas peguam Datuk Yaacob Md Sam yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir iaitu bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-17 itu mengakui bahawa ketika beliau bersama seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pergi ke Publika untuk mengenal pasti lokasi berkenaan, unit terbabit dalam keadaan tertutup dan tiada papan tanda yang menunjukkan ia adalah Pejabat Yayasan Tanah Aku.

Menurutnya, unit itu terletak di Blok B, aras dua, namun beliau tidak dapat mengingati sama ada pegawai SPRM terbabit mengambil gambar lokasi berkenaan.

Yaacob kemudian merujuk dua perjanjian penyewaan masing-masing membabitkan unit B4-2-3A dan B4-2-3.

Kedua-dua dokumen itu menunjukkan pihak lain menyewa unit berkenaan bermula pada 1 Januari 2021.

Bagaimanapun, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kedua-dua unit berkenaan kosong dan belum diduduki pada Disember 2020.

Yaacob: Tuan tahu dua premis yang tuan pergi, iaitu B4-2-3 dan B4-2-3A, adalah kosong dan belum diduduki pada 4 dan 16 Disember 2020?

Wan Azhar: Saya tidak setuju.

Yaacob: Pemilik premis ada memberi keterangan bahawa sebelum menandatangani perjanjian sewa, kedua-dua unit itu digunakan sebuah firma guaman. Firma berkenaan mengosongkan premis pada hujung 2019. Jadi, kami katakan dari hujung 2019 sehingga 1 Januari 2021, tiada pejabat yang menduduki kedua-dua unit itu. Setuju?

Wan Azhar: Saya hanya pergi ke lokasi itu dua kali, iaitu pada 4 dan 16 Disember 2020. Jadi, saya hanya tahu ia beroperasi pada dua tarikh itu. Hari lain saya tidak pasti sama ada ia beroperasi atau kosong.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 44, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM350,000 daripada Wan Azhar.

Suapan itu sebagai upah membantu Nexuscorpgroup memperoleh tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, masing-masing pada 4 petang, 4 Disember 2020, dan 3.30 petang 16 Disember 2020.

Sayed Amir Muzzakkir turut dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa di pejabat Nexuscorpgroup Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top